BLOG BM

  • BLOG BM,  CHILDREN'S LITERATURE,  Picbook Review

    Pokok Pain karya dari Sweden mengajak kita berfikir secara mendalam tentang kelestarian alam

    Pokok Pain atau Furan dalam bahasa Swedish, karya Lisen Adbåge, telah diterjemah dan diterbit ke Bahasa Malaysia hasil kerjasama Oyez!Books dan Kedutaan Sweden di Malaysia. Tujuan utama kerjasama ini ialah untuk memperkenalkan karya buku bergambar kanak-kanak dari Sweden untuk pembaca di Malaysia.

    Pokok Pain (Furan dalam bahasa Swedish) menceritakan kisah sebuah keluarga yang membeli tanah yang mempunyai sebuah pondok usang. Mereka meruntuhkan pondok usang tersebut dan juga menebang beberapa batang pokok pain di sekitar kawasan hutan untuk dijadikan bahan membuat rumah baharu. Ketika kerja-kerja penebangan dijalankan, beberapa perkara ganjil berlaku—bunyi jeritan dari pokok kedengaran, diiringi dengan getah pain seakan darah mengalir keluar dari pokok.

    Semua pokok ditebangkan kecuali sebatang pokok pain. Namun apabila pokok ini menghalang pandangan dari tingkap mereka, pokok tersebut akhirnya ditebang juga. Berikutan itu, banyak perkara aneh berlaku—walaupun sudah tiada pokok pain, setiap pagi mereka mendapati longgokan kon pain di luar rumah mereka. Jarum-jarum pain juga entah bagaimana muncul dalam rumah. Sedikit demi sedikit, fizikal badan mereka menjadi seperti pokok dan akhirnya si ibu membuat keputusan wajar, iaitu menanam diri mereka ke dalam tanah supaya mereka terus hidup.

    Pengakhiran yang menakutkan, bukan? Kisah-kisah sebegini sebenarnya banyak terdapat dalam kisah dongeng dahulukala di mana perbuatan yang tidak baik akan menerima akibatnya. Kisah dongeng dahulukala sentiasa memberi pengajaran yang maksudnya perlu difikirkan secara mendalam. Ini cara orang dahulu mengajar pembaca supaya berbuat baik antara satu sama lain—bukan sahaja sesama manusia, tetapi antara manusia dan alam, antara manusia dan setiap benda atau makhluk yang hidup di atas bumi. Mungkin caranya agak menakutkan tetapi ia meninggalkan kesan yang mendalam terhadap pemikiran kita dan mungkin tindakan kita di masa hadapan.

    Dalam kisah Pokok Pain ini, Lisen ingin menyampaikan tentang balasan alam kepada manusia yang menebang pokok untuk kepentingan diri sendiri. Bagi masyarakat Sweden, pokok itu sumber rezeki, di mana mereka menjual pokok untuk diproses menjadi kertas dan seterusnya produk dari kertas seperti buku. Untuk itu, mereka sentiasa harus memastikan pokok terus wujud untuk kelestarian kehidupan dalam hutan, juga untuk manusia. Setiap pokok yang ditebang, harus ditanam dengan anak pokok baharu supaya kitaran alam tidak terganggu.

    Tentang penulis/ilustrator: Lisen Adbåge. Lisen dilahirkan pada tahun 1982 di Sya in Östergötland. Beliau berkelulusan seni dari Sekolah Seni Hofors. Karya-karya Lisen terkenal di Sweden dan antara karya beliau yang popular ialah Kurt och Kio, Stor-Emma dan Koko och Bosse. Antara anugerah yang diterimanya ialah Anugerah Elsa Beskow Plaque (2018) dan Anugerah Expressens Heffaklump (2021).

    Pokok Pain karya Lisen Adbåge ini boleh di baca di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam atau mungkin juga di perpustakaan PPAS yang lain.

    Comments Off on Pokok Pain karya dari Sweden mengajak kita berfikir secara mendalam tentang kelestarian alam
  • BLOG BM,  Children's Book How-to

    Penggunaan Warna dalam Buku Bergambar

    Warna memainkan peranan penting dalam mempengaruhi emosi. Warna juga bertindak sebagai bahasa universal, di mana kanak-kanak bertindakbalas terhadap warna. Satu perkara yang perlu dipertimbangkan ialah suasana cerita. Apakah warna yang melambangkan suasana atau emosi?

    Psikologi warna boleh digunakan untuk mendapatkan kesan dampak pada ilustrasi. Pernahkah anda terfikir, apabila kita melihat langit biru, kita akan berasa tenang? Atau apabila kita melihat bunga matahari, kita akan berasa gembira? Berikut disenaraikan beberapa tindakbalas emosi terhadap warna:

    Merah – Bahaya, marah, keterujaan, keberanian.
    Biru – Ketenangan, kesedihan,kesejukan.
    Kuning – Kegembiraan, keceriaan.
    Hijau – Kedamaian.
    Hitam- kejahatan, kesedihan.
    Merah jambu – simpati, harapan, kasih sayang.
    Jingga – Kehangatan, nostalgia.
    Putih – Kebaikan, kebersihan atau sesuatu yang suci murni.
    Hitam dan Putih – Bersifat semulajadi, imbauan masa lalu, memfokus kepada penceritaan ilustrasi tanpa diganggu oleh warna.

    Dengan memahami kaitan warna dan emosi, kita boleh menggunakannya untuk ilustrasi buku bergambar. Fahami cerita dan tentukan suasananya, kemudian warnakan ikut kesesuaian.

    Berikut saya berikan sedikit kupasan warna dan emosi bagi beberapa buah buku bergambar.

    Aimi Tidak Murung Lagi, Zanariah Salam.

    Buku ini tentang kesedihan seorang budak perempuan bernama Aimi yang kematian ibu, namun disebalik itu, barang peninggalan ibunya iaitu kamera dapat menggembirakannya semula.

    Kredit gambar: Zanariah Salam

    Dalam ilustrasi cerita ini, ilustrator memilih warna putih dan merah jambu untuk mengekspresikan perasaan dan perjalanan emosi Aimi. Warna putih melambangkan kesederhanaan dan kemurnian, dan dalam konteks ceritanya menggambarkan penerimaan Aimi tentang kematian ibunya.

    Merah jambu sering dikaitkan dengan perasaan kasih sayang dan harapan, justeru, dalam konteks cerita ini, merah jambu mencerminkan hubungan emosional antara Aimi dan ibunya, melalui kamera milik ibunya. Warna ini juga mewakili momen kebahagiaan yang baru ditemukan dalam atmosfera yang penuh kasih sayang. Dengan kombinasi warna putih dan merah jambu, ilustrator menciptakan sebuah karya visual yang memperkuatkan perjalanan dalam mengatasi kesedihan.

    Puteri Gunung Ledang, Emila Yusof.

    Buku ini ialah penceritaan semula dari sudut pandang puteri sendiri. Untuk memberikan dampak pada ilustrasi, saya pilih warna tona hitam kelabu, kuning dan merah menyala. Tona hitam kelabu dapat memberikan kesan misterius dan dramatik, menggambarkan sebuah cerita klasik yang epik.

    Warna merah menyala saya pilih untuk menggambarkan karakter puteri yang berani dan juga Gunung Ledang yang masih diperkatakan sehingga ke hari ini. Warna kuning selendang bersimbol sebagai semangat positif dan keyakinan untuk menghadapi cabaran.

    Comments Off on Penggunaan Warna dalam Buku Bergambar
  • BLOG BM,  Children's Book How-to,  CHILDREN'S LITERATURE

    Kepentingan Warna Dalam Buku Bergambar Kanak-kanak

    Warna memainkan peranan penting untuk pembelajaran kanak-kanak dan boleh menarik perhatian mereka untuk melihat pelbagai aspek warna dalam ilustrasi. Ini boleh membantu perkembangan minda mereka. Pemilihan warna dalam ilustrasi buku kanak-kanak bergantung kepada gaya dan tema buku, audiens sasaran juga kepada pilihan warna peribadi ilustrator.

    Terdapat beberapa kategori warna yang biasa digunakan dalam ilustrasi buku kanak-kanak. Berikut adalah beberapa contohnya:

    Warna terang: Buku bergambar selalunya memaparkan warna yang energetik untuk menarik perhatian kanak-kanak.

    Ilustrasi Umaral dengan warna-warna terang.

    Warna pastel atau kurang terang: Warna pastel memiliki lebih tona warna putih. Contohnya warna hijau jika bercampur dengan warna putih akan menjadi hijau muda. Begitu juga pada warna lainnya. Warna-warna sebegini selalunya menggambarkan suasana yang damai dan tenang.

    Ilustrasi My Grandma’s Flowering Tea dengan warna-warna pastel.

    Warna Datar: Warna-warna ini sering ditonjolkan dalam ilustrasi untuk meningkatkan daya tarikan visual dan membantu dalam pengenalan awal tentang warna. Warna datar tidak mempunyai tona gradasi untuk mencipta rekaan yang bersih dan ringkas.

    Ilustrasi Mila dengan warna datar.

    Warna hangat (warm): Warna hangat (contohnya merah, kuning, oren) dapat menyampaikan perasaan gembira, sesuai untuk menceritakan kisah-kisah yang positif dan penuh aksi kehidupan.

    Warna Sejuk (cool): Warna sejuk (contohnya biru, hijau, ungu) sering dikaitkan dengan ketenangan dan kesejukan, sesuai untuk menceritakan kisah-kisah yang berlatarkan kedamaian dan pengembaraan. Warna-warna ini juga sesuai untuk menggambarkan keajaiban dalam cerita fantasi atau misteri.

    Kombinasi warna hangat dan sejuk juga boleh digabungkan untuk mendapatkan kontras yang menarik dan memperkaya pengalaman pembaca dalam menyampaikan emosi dan nuansa yang sesuai dengan naratif.

    Ilustrasi Pelangi Pagi dengan warna-warna hangat.
    Ilustrasi Puteri Seonhwa dengan warna-warna sejuk.

    Warna kontras: Warna kontras merujuk kepada warna yang berlawanan (complement) dalam roda warna. Warna-warna ini digunakan untuk menarik perhatian kanak-kanak dan menonjolkan elemen penting dalam ilustrasi. Contoh warna-warna berlawanan bagi biru ialah jingga, bagi merah ialah hijau.

    Lukisan dengan warna yang berlawanan.
    Comments Off on Kepentingan Warna Dalam Buku Bergambar Kanak-kanak
  • BLOG BM,  Children's Book How-to,  CHILDREN'S LITERATURE

    Ilustrasi dengan kesan vintaj dari helaian buku lama

    Berikut saya kongsikan dua ilustrasi yang saya lukis atas helaian kertas lama. Ilustrasi jenis ini boleh diguna pakai untuk tema imaginatif yang berkaitan dengan buku (dalam kes saya, buku lama).

    Dina di Alam Buku Lama (working title)

    Untuk mendapatkan kesan vintaj, saya cat permukaan dengan cat akrilik kuning cair yang tipis atas kertas yang dipotong dari buku lama. Jangan risau sebab buku ini tuannya mahu buang, jadi saya ambil.
    Selepas kering saya lukis dengan pensel warna sebelum lukis semula dengan dakwat pigmen berwarna sepia. Saya juga guna pensel warna untuk lukis muka Dina yang comel dan ‘highlight’ pada tempat yang saya rasa perlukan pencahayaan.

    Tema imaginatif buku lama itu macamana? Begini contohnya jalan cerita saya:

    Dina menemui sebuah buku cerita lama di loteng datuknya. Tanpa disangka, dia terseret ke dalam buku itu. Di dalamnya, Dina mengembara ke zaman buku itu diterbitkan (dalam tahun 70an) dan meneroka halaman-halaman yang penuh dengan keajaiban. Bersama teman-teman yang ditemuinya di dalam buku, Dina berusaha untuk mencari jalan pulang yang penuh dengan cabaran. Dia juga berjumpa dengan ayahnya versi kanak-kanak sebab buku itu datuk Dina yang tulis.

    Cerita ini saya belum buat storyboard dan masih berlegar dalam kotak fikiran. Ilustrasi ini pun sebenarnya telah terjual. Saya perlu lukis semula nanti.

    Demikian bagaimana cerita akan lebih bermakna jika dapat dikaitkan dengan media dan teknik ilustrasi. Teknik lukisan bergaris terkenal di zaman dahulu justeru ini akan menambah kesan nostalgia. Begitu jua dakwat pigmen berwarna sepia atau hitam.

    Pelbagai kisah yang sedang menanti untuk ditemukan jika anda benar-benar mahu mencari. Selamat berkarya!

    *****

    English translation


    Illustration with a vintage effect from the pages of an old book

    I’d like to share two illustrations that I crafted on vintage sheets of paper. This particular style of illustration lends itself beautifully to imaginative themes associated with books—specifically, in my case, the allure of old books.

    To get that timeless aesthetic, I applied a coat of light yellow acrylic paint onto paper sourced from the pages of a discarded old book. Fortunately, the owner had no qualms about parting with it, and so I seized the opportunity. After allowing it to dry, I sketched using a coloured pencil before layering it with sepia-toned pigment ink. These strokes brought to life not only the charming features of Dina but also strategically illuminated areas where I sensed a play of light was imperative.

    Now, let’s delve into the enchanting theme inspired by the old book. Imagine this narrative:

    Dina stumbles upon an ancient storybook in her grandfather’s attic, setting in motion an unforeseen adventure as she becomes inexplicably drawn into its pages. Transported to the era of the book’s inception (the vibrant 70s), Dina embarks on a mesmerizing journey through pages brimming with wonder. Accompanied by newfound companions within the book’s world, Dina courageously navigates challenges, all the while seeking a path back home. Along this fantastical odyssey, she unexpectedly encounters her father as a child, a poignant connection attributed to her grandfather’s authorship. .

    While the storyline remains a fluid concept without a formal storyboard, I sold the original illustrations and had to replicate them later. This narrative gains a richer significance when intertwined with the specific medium and technique employed in the illustration. The classic line drawing technique, reminiscent of a bygone era, imparts a touch of nostalgia, complemented by the sepia or black pigment ink.

    Countless tales lie in wait for those willing to explore. Here’s to your creative journey!

    Comments Off on Ilustrasi dengan kesan vintaj dari helaian buku lama
  • BLOG BM,  CHILDREN'S LITERATURE

    Pengembaraan Aidin dan Aida Melihat Keajaiban Hutan, tulisan Haizan Runsah

    Tahun ini saya mengambil satu sahaja kerja ilustrasi dari penulis. Setahun satu itu cukup buat saya kerana kerja-kerja melukis projek peribadi memang banyak—dari lukisan seni halus ke ilustrasi buku sendiri. Pelawaan dari Tuan Haizan saya tidak dapat tolak kerana temanya hutan. Saya suka hutan.

    Menurut penulis, buku ini bukan bertujuan mengajak kanak-kanak mengembara ke dalam hutan. Objektif buku ini kepada kanak-kanak ialah:

    • Menghargai dan menjaga hutan agar tidak pupus.
    • Menambahkan pengetahuan tentang haiwan dan tumbuhan hutan.
    • Memaparkan keindahan dan ketenangan yang terdapat di dalam hutan.
    • Mengaitkan keindahan hutan dengan kebesaran Tuhan yang menciptakan alam.

    Gambar dan cerita yang ditunjukkan adalah berbentuk umum. Menjadi tugas ibu dan bapa, para guru dan pembaca dewasa untuk berbual dan menceritakan lebih terperinci dengan ayat yang mudah difahami kepada kanak-kanak.

    Buku ini dalam proses untuk mendapatkan ISBN dan PDP dari Perpustakaan Negara Malaysia. Nantikan ya!

    ***

    English translation

    The Adventure of Aidin and Aida: Exploring the Wonders of the Forest, written by Haizan Runsah

    This year, I decided to take on only one illustration project from the author. Handling just that one job was sufficient for me, as I had a lot on my plate with various personal painting projects—ranging from fine art pieces to illustrations for my books. I couldn’t turn down Mr. Haizan’s invitation, especially since the theme was centred around the forest, something I have a great fondness for.

    According to the author, this book does not aim to take children on a journey into the forest. The objectives of this book for children are:

    • Appreciating and preserving the forest to prevent its disappearance.
    • Increasing knowledge about the animals and plants in the forest.
    • Presenting the beauty and tranquillity found within the forest.
    • Connecting the beauty of the forest with the greatness of God who created nature.

    The pictures and stories presented are general. It is the responsibility of parents, teachers, and adult readers to discuss and tell more detailed stories in language that is easily understood by children.

    This book is in the process of obtaining an ISBN and PDP from the National Library of Malaysia. Stay tuned!

    Comments Off on Pengembaraan Aidin dan Aida Melihat Keajaiban Hutan, tulisan Haizan Runsah
  • BLOG BM

    Neo-impressionisme

    Teringat saya tahun lepas (beberapa minggu lepas), ada seorang pengunjung masuk ke galeri Emilatopia. Sambil melihat-lihat lukisan saya, dia tersenyum dan kemudian bertanyakan jika saya artisnya. Saya menjawab ‘ya’ dan memperkenalkan diri saya. Dia memperkenalkan dirinya sebagai ahli sejarah seni tetapi tidak memberitahu namanya. Dia bercerita tentang Monet dan aliran Impresionisme dan bertanya adakah saya berinspirasi dari Monet sambil menunjuk kepada kepada lukisan pointilisme saya di dinding galeri. Saya menyangkal dan menerangkan sebenarnya saya berinspirasi dari Paul Signac dan Georges Seurat dari aliran neo-impresionisme dengan gaya pointilisme. Dia seolah tidak mendengar dengan jelas dan minta saya mengulangi nama-nama tersebut. Saya menyebut semula nama-nama tersebut, namun dia menggelengkan kepalanya sambil mengerutkan dahinya. “Oh, saya tidak pernah dengar nama mereka, hmm mungkin pengetahuan saya dalam genre seni yang lain,” katanya sambil menyebut-menyebut nama Monet sekali lagi dan menerangkan tentang lukisan Monet yang saya sendiri tahu rupa bentuknya. “Oh ya?” kata saya untuk tidak menyinggung perasaannya.

    Sebelum dia melangkah pergi, dia memberitahu lukisan wanita saya mirip lukisan-lukisan dari Taiwan. Saya berterima kasih kepadanya kerana sudi melihat lukisan saya. Kemudian saya ambil telefon pintar saya dan menGoogle ‘seni dari Taiwan’. Saya tidak dapat lihat persamaannya di mana. Saya menggaru kepala.

    Tree of Life | 2021

    Pada nota lain, bercerita tentang lukisan wanita, lukisan Tree of Life (atas ini) saya letak di ruang hadapan galeri. Antara pandangan yang kedengaran dari belakang tabir (saya duduk di sebalik skrin penghadang hujung galeri) dan yang disampaikan terus kepada saya:
    1: when I saw her, I have to come closer and look at the details. Beautiful, really.
    2: I love the colour combination, I can relate to it.
    3: I am not into art but hey this is beautiful.
    4: Ho liang ah!
    5: Aaa… that’s pretty!
    6: Bagi aku perempuan ni tak cantik.

    Kita tidak dapat memenuhi citarasa semua orang. Definisi cantik kita berbeza dan kejujuran itu amat dihargai.

    Comments Off on Neo-impressionisme
  • BLOG BM,  puisi

    Perspektif

    Seni rupa itu umpama titi
    dari seniman ke pencinta seni
    yang melorongkan inspirasi
    luah imaginasi dan ekspresi
    membangkitkan emosi
    perlu ada mata hati—
    untuk melihat maksud tersembunyi
    di sebalik bentuk, tekstur dan rupa seni.
    —KL 2018 ©Emila Yusof

    Opera Omnia, Balai Seni Lukis Negara. 2018.
    Comments Off on Perspektif