BLOG BM,  CHILDREN'S LITERATURE,  Picbook Review

Pokok Pain karya dari Sweden mengajak kita berfikir secara mendalam tentang kelestarian alam

Pokok Pain atau Furan dalam bahasa Swedish, karya Lisen Adbåge, telah diterjemah dan diterbit ke Bahasa Malaysia hasil kerjasama Oyez!Books dan Kedutaan Sweden di Malaysia. Tujuan utama kerjasama ini ialah untuk memperkenalkan karya buku bergambar kanak-kanak dari Sweden untuk pembaca di Malaysia.

Pokok Pain (Furan dalam bahasa Swedish) menceritakan kisah sebuah keluarga yang membeli tanah yang mempunyai sebuah pondok usang. Mereka meruntuhkan pondok usang tersebut dan juga menebang beberapa batang pokok pain di sekitar kawasan hutan untuk dijadikan bahan membuat rumah baharu. Ketika kerja-kerja penebangan dijalankan, beberapa perkara ganjil berlaku—bunyi jeritan dari pokok kedengaran, diiringi dengan getah pain seakan darah mengalir keluar dari pokok.

Semua pokok ditebangkan kecuali sebatang pokok pain. Namun apabila pokok ini menghalang pandangan dari tingkap mereka, pokok tersebut akhirnya ditebang juga. Berikutan itu, banyak perkara aneh berlaku—walaupun sudah tiada pokok pain, setiap pagi mereka mendapati longgokan kon pain di luar rumah mereka. Jarum-jarum pain juga entah bagaimana muncul dalam rumah. Sedikit demi sedikit, fizikal badan mereka menjadi seperti pokok dan akhirnya si ibu membuat keputusan wajar, iaitu menanam diri mereka ke dalam tanah supaya mereka terus hidup.

Pengakhiran yang menakutkan, bukan? Kisah-kisah sebegini sebenarnya banyak terdapat dalam kisah dongeng dahulukala di mana perbuatan yang tidak baik akan menerima akibatnya. Kisah dongeng dahulukala sentiasa memberi pengajaran yang maksudnya perlu difikirkan secara mendalam. Ini cara orang dahulu mengajar pembaca supaya berbuat baik antara satu sama lain—bukan sahaja sesama manusia, tetapi antara manusia dan alam, antara manusia dan setiap benda atau makhluk yang hidup di atas bumi. Mungkin caranya agak menakutkan tetapi ia meninggalkan kesan yang mendalam terhadap pemikiran kita dan mungkin tindakan kita di masa hadapan.

Dalam kisah Pokok Pain ini, Lisen ingin menyampaikan tentang balasan alam kepada manusia yang menebang pokok untuk kepentingan diri sendiri. Bagi masyarakat Sweden, pokok itu sumber rezeki, di mana mereka menjual pokok untuk diproses menjadi kertas dan seterusnya produk dari kertas seperti buku. Untuk itu, mereka sentiasa harus memastikan pokok terus wujud untuk kelestarian kehidupan dalam hutan, juga untuk manusia. Setiap pokok yang ditebang, harus ditanam dengan anak pokok baharu supaya kitaran alam tidak terganggu.

Tentang penulis/ilustrator: Lisen Adbåge. Lisen dilahirkan pada tahun 1982 di Sya in Östergötland. Beliau berkelulusan seni dari Sekolah Seni Hofors. Karya-karya Lisen terkenal di Sweden dan antara karya beliau yang popular ialah Kurt och Kio, Stor-Emma dan Koko och Bosse. Antara anugerah yang diterimanya ialah Anugerah Elsa Beskow Plaque (2018) dan Anugerah Expressens Heffaklump (2021).

Pokok Pain karya Lisen Adbåge ini boleh di baca di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam atau mungkin juga di perpustakaan PPAS yang lain.

Comments Off on Pokok Pain karya dari Sweden mengajak kita berfikir secara mendalam tentang kelestarian alam