10 Creative Writing Prompts Aug2019

  • 10 Creative Writing Prompts Aug2019,  FLASH FICTION

    Pengalaman ngeri membuatkan aku ingin belajar

    Baru sebentar tadi aku dengar orang menjerit dari rumah di tepi hutan. Suara seorang wanita; kuat dan nyaring. Aku pergi berdekatan secara senyap-senyap dan mengintai melalui tingkap kaca. Aku lihat seorang lelaki bertopeng ski sedang mengacukan pisau kepada seorang wanita. Wanita itu menjerit lagi dalam keadaan nyaring. Oleh kerana rumahnya di tepi hutan, aku rasa tiada orang yang mendengarnya. Dengan deruan kereta dan lori besar di jalan utama, suaranya tenggelam. Aku cuba masuk melalui tingkap tetapi tidak dapat kerana daun tingkap dikunci dari dalam. Aku kemudian ke pintu hadapan. Tertutup rapat. Aduh, macamana aku mahu tolong wanita tersebut?

    Aku panik dan pergi semula ke tingkap kaca. Belum sempat aku sampai ke tingkap, aku dengar wanita tadi menjerit, “tidak!” dan kemudian semuanya senyap. Aku mengintai perlahan-lahan. Wanita tersebut terbaring di atas lantai dengan darah mengalir laju dari perutnya. Pisau di perutnya. Mataku berpinar melihat darah begitu banyak dan semuanya tampak kelam dan kepalaku sangat berat. Mataku semacam tidak boleh dibuka. Sayup-sayup aku terdengar bunyi dua das tembakan. Mataku kembali terbuka dan aku pusing keliling rumah sambil melihat setiap tingkap. Aku terhenti di tingkap belakang rumah. Sah. Aku lihat ada dua mayat budak lelaki terbaring berlumuran darah di dalam sebuah bilik. Di sebalik tingkap tersebut aku nampak lelaki bertopeng tersebut membuka pintu hadapan rumah dan berlari keluar. Pistol di tangannya.

    Aku berkejar ke hadapan dan di sebalik dinding, aku perhati segala butiran terperinci tentang lelaki tersebut. Dia memakai topi berwarna hitam dan jaket jeans lusuh, bersarung tangan hitam serta berseluar hitam. Dia bergegas ke sebuah kereta Datsun buruk berwarna hijau di sebalik pokok bunga raya di tepi rumah tersebut. Dia menghidupkan enjin dan beredar. Aku dengan tidak membuang masa mengekori kereta tersebut. Jenuh jugalah aku mengekorinya tapi aku agak bernasib baik kerana kereta tersebut bergerak dalam kadar 50km/j. Aku boleh pergi lebih laju dari itu, jadi mengekori kereta buruk tersebut tidak mendatangkan masalah bagi aku.

    Setelah tiga puluh minit mengekori, akhirnya lelaki tersebut memasuki lorong kecil di sebelah kiri jalan utama. Kemudian di tengah-tengah hutan ada simpang tiga. Dia pusing ke kanan dan berhenti di hujung. Jalan mati rupanya. Kemudian dia keluar dari kereta dan berjalan beberapa meter sehingga tiba di sebuah rumah. Dia masuk dan menutup pintu. Rumahnya tiada tingkap kaca, jadi aku tidak boleh lihat apa yang dibuatnya. Aku berkira-kira mahu melaporkan perbuatannya kepada polis… namun aku ada satu masalah. Aku tidak tahu membaca. Aku tidak tahu nama tempat tersebut, nombor plet kereta buruk itu dan juga nombor rumah. Memang aku nampak segala macam tulisan semasa masuk ke lorong kecil tadi, pada kereta dan pada rumah tetapi aku kesal, aku buta huruf. memang dari kecil aku tak diajar membaca. Ke sekolah pun tidak pernah.

    Aku bersembunyi di sebalik pokok berdekatan kereta pembunuh tersebut sambil memikirkan cara untuk menyampaikan maklumat kepada polis. Sedang aku berfikir, daun-daun kering berguguran ditiup angin. Aha! Aku dapat satu idea.

    Aku kutip satu daun kering dan pergi semula ke tempat kejadian. Aku mencari jalan masuk dan aku bernasib baik kerana ada sedikit bukaan di atas tingkap yang membolehkan aku masuk. Aku sapu darah wanita itu kepada daun dan kemudian aku terus pergi ke balai polis.

    Sesampai aku di balai polis, aku letakkan daun di atas kaunter hadapan. Aku cuba menerangkan kepada pegawai polis di kaunter tentang pembunuhan yang aku saksikan tadi. Polis tersebut membeliakkan matanya dan menghalau aku. Semasa dia cuba menepis daun dengan tangan, darah melekat di jari kelingkingnya. Nah…

    “Oi korang tengok ni, daun ni ada darah!” kata polis tersebut kepada rakan-rakannya. Mereka berkumpul melihat daun tersebut. Aku tak pasti apa yang mereka bualkan namun aku pasti mereka sedang membincangkan tentang daun tersebut.

    Dari jauh mereka berkejar keluar mencari aku, “hah itu dia burung merpati yang bawa daun ada darah tadi! Jom kejar!”

    Aku pun terbang perlahan-lahan dari tiang ke dahan, dari dahan ke tiang sehinggalah ke tepi hutan sebelum terbang ke rumah wanita yang mati ditikam tadi. Polis yang mengekor aku tadi berhenti di halaman rumah dan mengetuk pintu sementara rakannya menghubungi bantuan ambulan.

    Sambil aku terbang tadi, ada aku terfikir mungkin tahun ini aku patut belajar kemahiran membaca supaya mudah aku melaporkan apa-apa kejadian yang tidak diingini.

    Menulis? Itu cerita tahun hadapan. Tahun ini aku belajar membaca dahulu.

    *Ini adalah prompt ke-11 untuk cabaran blog oleh Norsa’adah.

    Frankfurt, 2013.
    Comments Off on Pengalaman ngeri membuatkan aku ingin belajar
  • 10 Creative Writing Prompts Aug2019,  BLOG BM,  FLASH FICTION

    I need a miracle

    Beeb, beep, beep!

    Dengan mata masih tertutup, tanganku cergas mematikan bunyi penggera dari telefon bimbit. Aku tidur kembali. Memang aku set penggera semasa aku tiba di sini.

    Beep, beep, beep!

    Beep, beep, beep!

    Beep, beep, beep!

    Dengan mata separuh terbuka aku bergegas bangun. Alamak! Sudah lambat! Aku tahu aku lambat kerana apabila penggera berbunyi buat kali keempat, itu menandakan telah dua puluh minit ia berbunyi. Aku set penggera setiap 5 minit selepas yang pertama. Dua puluh minit tersebut sebenarnya aku peruntukkan untuk mandi.

    Oleh kerana tidak sempat mandi, aku bergegas menyarung jeans dan sweater. Aku ambil bagasi dan tolak terus keluar bilik dan daftar keluar dari hotel. Aku meminta bantuan pekerja hotel memanggilkan teksi untuk aku pergi ke Lapangan Terbang Václav Havel. Perasaan bercampur-baur. Malam sebelumnya aku pengsan di perkarangan Muzium Kafka, dan aku tak ingat bagaimana aku pulang ke bilik hotel sehinggalah penggera berbunyi pagi tadi. Rasanya ada benda yang tertinggal di bilik hotel. Apakah dia agaknya?

    Teksi sampai dan aku naik. Sejurus tiba di lapangan terbang, aku terus ke kaunter untuk mendaftar bagasi masuk. “Is that all, madam?” tanya wanita di kaunter. “Yes,” jawabku. Tiba-tiba aku teringat sesuatu… “No!” Aku cemas.

    Aku teringatkan beberapa manuskrip asal, jurnal dan buku milikku! Di mana aku letak barang-barang tersebut? Aku memohon kepada wanita tersebut untuk membuka bagasi dan memeriksa jika barang tersebut ada di dalam. Setelah membukanya, memang sah tiada. Aku cuba mengingatkannya semula namun tiada ingatan langsung di mana aku simpan. “When is the time limit to check-in my luggage?’ tanyaku. “You have one hour, madam.” Aku mengambil bagasi semula, “OK, I’ll come back before an hour.”

    Aku bergegas mencari telefon dan mengeluarkan resit pembayaran bilik hotel. Aku dail nombor yang tertera di situ, “hello, I am from room 326. I think I left something in the room. Can you check for me?” “Hold on madam, I will ask the chambermaid to check,” kata suara di hujung sana. Setelah lima minit menunggu di talian, “Madam, there’s nothing in the room except a calling card.” “I left some manuscripts, journals and books, can you check again?” kataku panik. “Hold on madam, I will ask the chambermaid to check again.”

    Sementara menunggu di talian, aku berkira-kira mahu kembali ke hotel semula. Satu jam. Sempatkah aku? Tanpa berfikir panjang, aku letak telefon dan bergegas menahan teksi di luar lapangan terbang. Dalam teksi aku berbisik, “I need a miracle, I need a miracle, I need a miracle.

    Dalam masa 25 minit, aku sampai di hotel. “Hi, I am sorry, I called some half an hour ago about the things that I might’ve left in my room,” kataku kepada pekerja di sebalik kaunter. “Oh yes, madam, the chambermaid took the card and actually call the person on the card, Mr. Gregor Samsa,” katanya. “And?” aku bertanya untuk mengetahui selanjutnya. “And Mr. Samsa is on his way here,” katanya lagi.

    Aku tidak sabar menunggu kehadiran Gregor Samsa di lobi hotel. Sejurus kemudian muncul seorang lelaki, “Amélie?” tanyanya pendek. Aku meneliti mukanya, seorang lelaki yang tidak kukenali. Dia menyampaikan beg galang dan di dalam beg itu terdapat barangan aku yang tertinggal. Alhamdulillah, bisik hati kecilku. Sebelum pergi lelaki itu menyerahkan nota kepadaku, ‘I thought you will call me but I guess you are late. Till we meet again. XOXO, KR.‘ Hati aku cair bercampur sedih. Inilah yang tertinggal sebenarnya; hati aku.

    Aku berjalan lemah ke kaunter hadapan, “thank you for everything. And please convey my heartful thanks to the chambermaid. May I know her name?

    Certainly, madam. Her name is Miranda Clearly. We call her Miracle.

    Prague, 2018.

    “Miracles are like pimples, because once you start looking for them you find more than you ever dreamed you’d see.”
    Lemony Snicket.

    Comments Off on I need a miracle
  • 10 Creative Writing Prompts Aug2019,  BLOG BM,  FLASH FICTION

    Teka-teki yang membawaku kembali ke Mala Strana

    Dompetku begitu gemuk sekali namun bukanlah kerana gemuk duit; lebih kepada gemuk dengan resit dan kad loyalti. Setiap kali ke pasaraya, mesti resit akan kusimpan. Kemudian, bila dompet sudah sendat, aku mengeluarkan rest-resit lama dan menyemak satu persatu. Yang mana tidak penting, akan kubuang. Resit-resit buku dan barangan yang ada waranti akan kuletak sebelah.

    Tiba masanya aku menyemak resit satu persatu kerana dompet telah gemuk. Ku belek satu-persatu, depan belakang. kadang-kadang pada resit ada kupon diskaun. Kena peka juga akan hal itu. Ada satu resit yang terlipat kelihatan ada kesan tulisan. Aku membuka lipatan resit dan sahlah ada mesej. Bukan, lebih kepada teka-teki. Dalam bahasa Inggeris, berbunyi:

    I need you to help me discover a treasure chest. If you can answer the questions below, it will lead you to the chest. Please take necessary action.

    What can run but never walks, has a mouth but never talks, has a head but never weeps, has a bed but never sleeps? What has bark but no bite? When you find the ‘dog’, please dig a hole and go inside.

    Haha! Gila punya mesej. Sempat pula dia tulis panjang-panjang. Aku teliti semula resit lama tersebut. Resit kosong, tiada cetakan langsung. Di kepala resit tertera nama kedai buku Shakespeare & Sons beralamat di Malá Strana, Prague. Ceh! Ini mesti dia selit resit masa aku beli buku di sana.

    Malam itu aku tidak tidur kerana beria menjawab dua teka-teki tersebut.

    What can run but never walks, has a mouth but never talks, has a head but never weeps, has a bed but never sleeps? Kucing bisu tidur atas tembok! Tak mungkin. Lipas kudung? Oh, oh, serangga dalam cerpen Metamorphosis karya Franz Kafka? Tak mungkin juga.

    What has bark but no bite? Yang ini mesti anjing tiada gigi! Kah, kah, kah, tak mungkin. Apa lagi jenis binatang yang menyalak? Binatang jalang yang menerjah menendang tapi tidak menggigit. Lol, Chairil Anwar.

    Jam dua pagi, buku nota aku telahpun kupenuhi dengan jawapan yang mungkin sambil diselang-seli dengan conteng-contengan. Aku cuba melelapkan mata tetapi tidak bisa. Aku bangun dan mengambil botol biji kopi Papua. Kutimbang 10gram dan mengisarnya. Sambil mencurah air panas ke dalam tapisan alat drip, otakku masih ligat memikirkan teka-teki tadi. Sehinggalah aku menghirup kopi tersebut. TING!

    Aku meneliti nota yang aku tulis dan membaca semula teka-teki berulang kali. Yes! Kali ini aku dapat kaitkan sesuatu—resit S&S, Kafka, anjing tiada gigi, kucing tembok… Semasa aku ke Prague tahun lepas, aku ada nampak kucing atas tembok di tepi sungai Vltava berdekatan Muzium Kafka dan anjing yang giginya ada dua batang.

    Aha, sah! Aku harus kembali ke Prague!

    Aku buka laptop, buka laman web Lufthansa dan tempah tiket ke Prague! Esoknya aku terbang dengan Lufthansa. Sambil melihat wayang John Wick 3, aku membaca semula nota-nota yang aku tulis, cuak kerana aku sanggup membazir duit untuk mencari sesuatu yang tak pasti. Setelah transit di Frankfurt selama dua jam, akhirnya aku sampai di Prague jam 10 pagi. Aku terus menaiki teksi dan pergi ke Muzium Kafka berdekatan Sungai Vltava. Aku menuju ke tepi muzium Di laman tepi sebelah muzium, ada pokok. Di situlah aku nampak anjing bergigi dua batang tahun lepas, namun anjing tersebut tiada. Aku yakin When you find the ‘dog’, please dig a hole and go inside merujuk kepada tempat tersebut.

    Tetapi… mana mungkin aku menggali lubang di Muzium Kafka! Aku duduk termenung di bangku berhadapan muzium sambil memikir cara-caranya untuk menggali lubang di pangkal pokok tersebut. Entah bagaimana, aku kemudian disapa oleh seseorang yang memperkenalkan dirinya sebagai Gregor Samsa. Dia seorang yang agak pelik; memakai topeng Guy Fawkes dan baju mascot karakter Krtek. “I know what you’re thinking,” katanya. “What?” kataku acuh tak acuh. “The treasure under that dying tree,” jawapannya kali ini membuatkan biji mataku terbeliak. Dia tahu rupanya! Aku menceritakan segalanya tentang teka-teki tersebut.

    Itulah permulaan bagaimana kami berbincang dan berkomplot untuk menggali lubang di bawah pokok di tepi laman muzium tersebut. Setelah dua hari lamanya merancang, kami pun pergi menggali pada suatu malam. Tiada orang pun di situ dan Gregor Samsa meyakinkan aku bahawa pengawal di situ telahpun diupahnya untuk tutup mulut. Kami pun menggali dan menggali sehingga penyodok kami terkena pada sesuatu. Gregor Samsa mengambil lampu suluh dan menyuluh, kelihatan seperti sebuah kotak! Gregor Samsa terus menggali sementara aku menjerit tanpa suara kerana terlalu keciwi sehingga terasa mahu terkencing! Aku berlari ke tandas dan kemudian kembali kepada Gregor Samsa.

    Gregor Samsa tiada di situ dan keadaan senyap sunyi. Lampu suluh kelihatan terpasang di sebelah kotak harta karun yang terbuka luas. Aku memandang ke dalam kotak dan terdengar suara berkata, “The riddle told you to go inside…” dan kemudian satu tangan hitam berbulu menarik aku ke dalam kotak. Di dalam kotak itu rupanya luas, seluas Muzium Kafka. Tangan yang menarik aku tadi ialah Gregor Samsa dalam bentuk serangga. “Amélie, these are all yours,” katanya sambil menunjukkan harta karun berupa buku-buku lama, jurnal, manuskrip asal dan bermacam lagi yang berasal bukan sahaja dari Republik Czech, malah dari serata Eropah.

    Aku ambil beberapa manuskrip asal, beberapa jurnal (salah satunya ialah jurnal pelayaran pelayar Eropah ke Melaka) dan beberapa buah buku. Selebihnya aku tinggalkan pada Gregor Samsa. “Please sell these to museums around the world, you can make billions,” kataku pada Gregor Samsa sambil memeluknya dan mengucapkan terima kasih. Aku betul-betul ikhlas memeluk Gregor Samsa kerana menganggap dia serangga yang paling machomel dalam dunia.

    Pipi Gregor bertukar kemerahan dan sedikit demi sedikit dia bertukar menjadi seorang lelaki yang kacak. Metamorfosis kepada Keanu Reeves secara tepatnya.

    Aku pengsan!

    Prague, Czechia, 2018.
    Comments Off on Teka-teki yang membawaku kembali ke Mala Strana
  • 10 Creative Writing Prompts Aug2019,  BLOG BM

    Kau, cantumlah kembali hatimu itu

    Sudah lama kau cuba bersabar. Segala kiasan, perbuatan perli-memperli, buli secara verbal tidak pernah kauhirau. Namun kesabaranmu ada hadnya—berdiam diri bukan lagi pilihan yang ada apabila dia yang bermulut puaka itu menghentam kau dengan ayat-ayat hebatnya. Bukan itu sahaja, pengikut-pengikutnya juga turut sama menghentam. Sepertinya, engkau itu di satu sudut kecil dan gelap dikepong oleh lembaga-lembaga tidak berwajah yang menghunus tombak ke badanmu dan menikam lumat-lumat.

    Kau tarik nafas panjang-panjang dan mengira dari satu hingga seratus dan kau menjawab tohmahan, cuba berhemah sebaik mungkin agar kau tidak jatuh ke tahapnya. Penghujungnya kau berikan salam, pohon kemaafan jika terkasar bahasa dan kau doakan dia agar sentiasa diberi hidayah.

    Tamat.

    Tunggu. Belum lagi. Kau ingat dia tidak melompat? Dia menyambung lagi tanpa henti, kali ini serangan yang lebih kepada membunuh kerana ayat-ayatnya kini lebih tajam dan menikam kau tepat ke hati! Kau mati di situ, cebisan diri kau berteraburan di atas lantai. Ramai yang mengutip cebisan itu, ramai juga yang berdiam kerana takut ditikam lumat. Ketika ini kau tahu siapa kawan sejati, dan kau tergamam. Sudahlah mati ditikam, hati kau disiat-siat pula menjadi zarah partikel paling halus. Kau tidak lagi mempunyai hati—hati yang dahulu kau khususnya untuk membahagiakan orang lain.

    Kau berhenti mengira. Kau kutip sisa-sisa hati kau dan berfikir beberapa cara untuk kau mencantum semula cebisan hati kau itu:
    a) kutip tisu hati dengan tweezer, masukkan dalam cawan petri, kulturkan.
    b) guna dawai kokot
    c) kutip cebisan, masukkan dalam loyang berbentuk hati.
    d) beli pencetak 3D dan cetak hati yang baru.
    d) biarkan sahaja hati itu pulih dengan sendirinya.

    Bolehkah? Boleh, dengan masa.

    Perlahan tapi pasti, dengan keizinanNya.

    Comments Off on Kau, cantumlah kembali hatimu itu
  • 10 Creative Writing Prompts Aug2019,  BLOG BM

    Jurnal Matteo: Kota Melaka, 1511

    Adapun, penemuan diari seorang pelayar dari Itali dijumpai oleh seorang pencari harta karun. Nama dan lokasi dirahsiakan kerana masih ada lagi saki baki harta karun milik pelayar tersebut yang belum dipindahkan. Berikut ialah halaman pertama dari jurnal tersebut. Telah diterjemah oleh seorang penterjemah tidak bertauliah.

    Kota Melaka
    I – I – MDXII.

    Syahadan akhirnya tiba juga aku mendarat di Kota Melaka setelah berangkat lepas selama lima purnama menaiki bahtera Bastarda melalui Lautan Aethiopian, dengan persinggahan selama lima hari di Stormkaap, sebelum menyambung pelayaran melalui Lautan Erythraean ke Selat Melaka.

    Dari pemerhatianku, Kota Melaka ini dikelilingi tembok yang dibina dari batu laterit yang sangat kukuh dan ciri-ciri keselamatannya sangat mantap. Terdapat empat pintu masuk yang dilengkapi dengan menara tinjau yang dikawal oleh dua orang pengawal. Di dalam kota ini ada kubu tempat menyimpan barang dagangan, wang, emas dan sebagainya dengan ufti bulanan.

    Ketika aku masuk ke kawasan kota, aku disambut oleh Datuk Syahbandar yang kemudian membawa aku berjumpa dengan Datuk Bendahara untuk melunaskan ufti kerana berlabuh di perairan Selat Melaka.

    Kami melalui kawasan istana Sultan Melaka yang tersergam indah. Menurut Datuk Syahbandar, istana tersebut diperbuat dari batu laterit dan juga kayu Cengal. Ianya dipenuhi dengan ukiran corak tumbuhan dan bungaan. Istananya tiga pertala sama seperti bumbungnya, arakian pada hujung setiap bumbungnya dibina melentik sedikit ke atas. Menurutnya, istana tersebut di bina oleh pedagang-pedagang dari Padang, Sumatera.

    Di atas bukit tidak jauh dari situ ada pula sebuah masjid, ekoran kedatangan pedagang Arab, yang mengembangkan agama Islam di sini. Ada sungai mengalir bersebelahan masjid dan sebuah jambatan yang menghubungkannya dua belah sungai. Di seberang sana sungai terdapat dua puluh buah dewan berdagang.

    Benar seperti yang diberitakan—kota ini dipenuhi dengan pedagang anta permana dari pelbagai tempat; Jawa, Molukus, Padang, Palembang, Champa, China, Kepulauan Ryuku. Portugis, Gujerat, Burma, Pasai, Arab dan banyak lagi. Ada pelbagai jenis barang dagangan antaranya ialah rempah-rempah, kayu aromatik, hasil laut, kain sutera, porselin, teh dan pelbagai lagi.

    Para pedagang dikelompokkan ke dalam komuniti etnik masing-masing namun aku kagum melihat rata-rata semua yang berdagang boleh menguasai Bahasa Melayu dengan baik. Aku juga berazam sedemikian.

    Rakyat di kota ini sangat baik hati; sentiasa senyum dan menyapa dengan peramah. Ketika aku lalu di barisan rumah kayu beratapkan nipah, aku disajikan dengan muzik, balada dan puisi. Di sebelahnya ada gelanggang untuk para lelaki berlatih bersilat dan menggunakan keris, lembing dan tombak.

    Tidak jauh dari situ, ada gelanggang permainan anak-anak. Dari jauh mereka berlari mendapatkan aku, bersalaman sambil menarik tanganku untuk bermain bersama-sama mereka. Sangat pelik bolanya; kelihatan diperbuat dari rotan dan mereka menggelarkannya bola takraw. Anak-anak tersebut mengajar aku bermain. Kami membentuk satu bulatan. Salah seorang dari pemain melambung bola kepada rakannya dengan tangan. Rakannya itu menimang bola itu dengan kakinya sekali atau beberapa kali, sebelum menendangnya ke arah pemain lain. Mereka bergilir-giliran menimang bola itu dan mengawalnya supaya tidak jatuh ke bumi. Jika bola itu jatuh, permainan dalam pusingan tersebut ditamatkan. Aku mencuba beberapa kali sehingga berjaya menimang bola untuk beberapa seketika.

    Gadis-gadis di sini juga manis-manis pokta belaka orangnya. Sering tersipu malu bila aku senyum kepada mereka sambil berselindung di sebalik kain sarong batik yang menutupi rambut mereka.

    Hatta besok sukhacitta bermulalah misiku untuk membeli rempah-ratus, porselin, teh dan sutera. Permintaan orang Eropah untuk memiliki barangan tersebut di rumah mereka sangat tinggi. Bagi mereka, rempah ratus itu lebih berharga daripada kencana atas sebab-sebab kos tambahan di musim sejuk yang jauh lebih tinggi dari harga kencana.

    Sehingga esok,
    Matteo Da Empoli.

    Azulejos, Macao. 2016.


    Comments Off on Jurnal Matteo: Kota Melaka, 1511
  • 10 Creative Writing Prompts Aug2019,  BLOG BM,  FLASH FICTION

    Di hari semua orang lenyap

    “Ahhh!!! Jem, jem, jem! Tak pernah tak jem! Aku harap suatu hari semua kereta lenyap atas dunia ini!” Itu seranahku setiap kali sangkut dalam jem.

    Dan ketika lain, seranahku bertukar kepada, “kalau macam ini baik duduk dalam hutan sahaja!”

    Dan kau tahu? Hari ini aku bangun dan mahu ke pasar, keretaku tiada. Aku tanya suamiku mana kereta? Dia jawab balik, “kereta? Apa itu kereta?”

    Huh? Aku berlari keluar untuk meninjau suasana jalanraya. Huh, sungguh! Tiada jalanraya, yang ada cuma hutan. Ya, hutan. Kiri kananku ada hutan. Tak jauh di hadapan, ada sungai mengalir. Kudengar bunyi burung berkicauan juga.

    Orang, mana orang? Orang pun tiada. Tidak nampak rumah orang lain di sekeliling hutan, apatah lagi kelibat orang.

    Tapi… semalam? Aku di kota besar yang hiruk pikuk, bagaimana pula aku ke mari?

    “Sayang, sudah berapa lama kita di sini?” tanyaku pada suami yang kelihatan sedang bersiap sedia dengan tali kailnya.

    “Selama kita hidup,” jawabnya ringkas. “Tapi…semalam…,” belum sempatku habiskan ayat dia telah bergegas keluar dengan tali kail dan baldi.

    Aku buntu memikirkan apa sebenarnya terjadi. Aku ke bilik air untuk membasuh pakaian. Mesin basuh pun sudah hilang, yang ada cuma rendaman kain dalam besen. Aduh, penat kalau macam ini mencuci pakaian. Walau bagaimanapun, aku cuci juga. Kemudian aku ke belakang rumah untuk menyidai pakaian. Alangkah terkejutnya aku melihat pokok cili, pokok pisang, pokok daun pandan, pokok serai dan bermacam jenis pokok ada di situ! Kelihatan anakku sedang berkebun.

    “Hai ibu,” katanya sambil mengangkat tangan dengan segenggam cili api. “abah suruh kutip, nanti ibu masakkan gulai ikan cili padi, ya?’

    Aku mengangguk sambil memerah pakaian dan menyidai. Bingung aku dibuatnya.

    Apabila suamiku pulang, dia membawa beberapa ekor ikan dalam baldi, “ini untuk masak lemak cili padi kesukaan anak awak.” Aku tak membantah dan terus memasak di dapur. Anakku masuk membawa segenggam cili padi. Ada bahan yang tiada di para, jadi aku ke belakang rumah memetik apa yang patut untuk dimasukkan dalam masak lemak cili padi; sedikit belimbing buluh, serai dan terung telunjuk. Lapar pula dibuatnya.

    Sesudah memasak, aku dan keluarga makan bersama-sama. Selepas itu anakku bertanya, “ibu nak pergi ke hutan semula untuk melukis tumbuhan?”

    “Lukis? Lukis apa? Ibu kan tak pandai melukis?” tanyaku.

    “Lah…ibu ni. Itu dalam bilik melukis ibu di tepi rumah itu, siapa pula yang lukis?” tanya anakku sambil tersengih.

    Setelah makan aku ke tepi rumah. Benar, ada sebuah bilik melukis penuh dengan lukisan saintifik cendawan, bunga-bunga hutan, tumbuhan liar bergantungan pada tali dengan sepit kayu. Aku teliti lukisan-lukisan tersebut. Semuanya mempunyai tandatangan tetapi bukan tanda tangan aku! Di meja berdekatan tingkap, ada sebuah buku lakaran. Kubuka dan kulihat ada pelbagai karakter haiwan berpakaian; ada arnab, tupai, katak. Kuteliti lagi tandatangan pada lakaran. Bukan juga tandatangan aku!

    Aku membawa beberapa keping lukisan dan buku lakaran dan menunjukkan pada suami dan anakku. “Ini siapa ni?” Tandatangan ini kepunyaan Beatrix Potter. Ini bukan saya,” aku memandang suamiku. “Ini bukan ibu,” aku memandang pula anakku yang kelihatan termanggu-manggu.

    “Ibu, ibulah Beatrix Potter!” jawab anakku dengan muka meyakinkan.

    “Tidak! Ibu bukan Beatrix Potter,” aku menafikan. Suamiku masuk bilik dan mengeluarkan kad pengenalan, tertera di situ muka aku dan nama: Beatrix Potter.

    “Oh?” aku terduduk. “Tahun berapa ini?” tanyaku. “1890,” jawab suamiku.

    Aku berlari ke dalam bilik dan mengunci pintu. Dari tahun 2019 ke tahun 1890? Apakah mungkin aku seorang pengembara masa? Aku menjelma sebagai Beatrix Potter? Atau Beatrix Potter menjelma sebagai aku? Aku buntu. Pening kepala memikirkan semua benda tak masuk akal. Setelah penat berfikir aku tertidur.

    *Tuk, tuk*

    Aku terjaga dari tidur apabila mendengar ketukan pintu, “siapa?”

    “Saya.”

    “Saya siapa?”

    “Saya anak ibu.”

    Aku membuka pintu. Kelihatan anakku baru pulang dari sekolah. “Ibu, saya lapar,” katanya.

    Dari bilik aku terus bergegas keluar rumah. Keretaku ada kembali! Suamiku baru keluar dari kereta! Kedengaran bunyi trafik di jalanraya berdekatan. Aku melompat gembira dan menjerit, “Yahooo! Aku bukan Beatrix Potter!” Jiran sebelah mengintai-ngintai di sebalik pagar.

    Anak aku kelihatan berlari keluar apabila dengar aku menjerit terlolong-lolong di hadapan rumah.

    “Kenapa ibu awak tu?”

    “Hmm… mengigau lagilah tu.”

    Comments Off on Di hari semua orang lenyap
  • 10 Creative Writing Prompts Aug2019,  BLOG BM,  FLASH FICTION

    Dialog burung dengan kucing

    Apa yang membawa kau atas pokok ini? Ini tempat aku.

    Saja suka. Kau ingat pokok ini kau yang punya? Tuan aku yang tanam pokok ini.

    Alahai. Kau panjat sebenarnya kerana kau mahu makan aku, bukan begitu wahai sang kucing?

    Hm. Aku juga ingin menikmati pemandangan dari atas pokok ini. Bersama-sama kau, si comel lote. Aku ‘tertarik’ kepada kau.

    Sudahlah. Kau ingat aku percaya kata-kata manis kau itu? Panjat pokok tahu, turun tak tahu!

    Alahai. Semakin marah, semakin comel pula. *menjilat misai* Eh, aku pandai turunlah.

    Haha! Semalam kau panjat tapi kau tidak tahu turun. Kau mengiau dan tuan kau datang ambil tangga dan turunkan kau.

    Eh? Kau nampak peristiwa semalam? *semakin mendekati burung*

    Nampaklah. Aku bertenggek di atas wayar sana. Mengiau macam kucing sawan.

    Erk. *malu*

    Apa sebenarnya yang kau mahu datang ke sini? Jujurlah. Tak payah cakap belit-belit.

    Makan kau. Kau nampak sedap. *tersengih*

    Sudahku agak. Kenapa agaknya kucing suka membunuh burung? Kita sama-sama makhluk Tuhan. Tolong hormati nyawa makhluk lain. Kami ada perasaan juga.

    Mengikut kitar alam, ada pemangsa dan mangsa. Kau pemangsa bagi ulat bulu dan serangga kecil. Aku? Kau dan tikus. Lipas dan belalang juga boleh. Crunchy!

    Lagipun, masa kau makan serangga, ada kau hiraukan pekik jerit mereka? Tidak bukannnnn….

    Hekeleh! Boleh sahaja kau makan kibel. Mengada.*offguard*

    Suka akulah. Aku yang buat keputusan aku nak makan apa. Kalau aku tak nak makan kibel, tuan aku beri makan wetfood. Aku boss. **goyang punggung*

    Haha! Pandai sungguh kau berkata-kat….

    *Ngap* (Burb).

    Comments Off on Dialog burung dengan kucing