10 Creative Writing Prompts Aug2019,  FLASH FICTION

Pengalaman ngeri membuatkan aku ingin belajar

Baru sebentar tadi aku dengar orang menjerit dari rumah di tepi hutan. Suara seorang wanita; kuat dan nyaring. Aku pergi berdekatan secara senyap-senyap dan mengintai melalui tingkap kaca. Aku lihat seorang lelaki bertopeng ski sedang mengacukan pisau kepada seorang wanita. Wanita itu menjerit lagi dalam keadaan nyaring. Oleh kerana rumahnya di tepi hutan, aku rasa tiada orang yang mendengarnya. Dengan deruan kereta dan lori besar di jalan utama, suaranya tenggelam. Aku cuba masuk melalui tingkap tetapi tidak dapat kerana daun tingkap dikunci dari dalam. Aku kemudian ke pintu hadapan. Tertutup rapat. Aduh, macamana aku mahu tolong wanita tersebut?

Aku panik dan pergi semula ke tingkap kaca. Belum sempat aku sampai ke tingkap, aku dengar wanita tadi menjerit, “tidak!” dan kemudian semuanya senyap. Aku mengintai perlahan-lahan. Wanita tersebut terbaring di atas lantai dengan darah mengalir laju dari perutnya. Pisau di perutnya. Mataku berpinar melihat darah begitu banyak dan semuanya tampak kelam dan kepalaku sangat berat. Mataku semacam tidak boleh dibuka. Sayup-sayup aku terdengar bunyi dua das tembakan. Mataku kembali terbuka dan aku pusing keliling rumah sambil melihat setiap tingkap. Aku terhenti di tingkap belakang rumah. Sah. Aku lihat ada dua mayat budak lelaki terbaring berlumuran darah di dalam sebuah bilik. Di sebalik tingkap tersebut aku nampak lelaki bertopeng tersebut membuka pintu hadapan rumah dan berlari keluar. Pistol di tangannya.

Aku berkejar ke hadapan dan di sebalik dinding, aku perhati segala butiran terperinci tentang lelaki tersebut. Dia memakai topi berwarna hitam dan jaket jeans lusuh, bersarung tangan hitam serta berseluar hitam. Dia bergegas ke sebuah kereta Datsun buruk berwarna hijau di sebalik pokok bunga raya di tepi rumah tersebut. Dia menghidupkan enjin dan beredar. Aku dengan tidak membuang masa mengekori kereta tersebut. Jenuh jugalah aku mengekorinya tapi aku agak bernasib baik kerana kereta tersebut bergerak dalam kadar 50km/j. Aku boleh pergi lebih laju dari itu, jadi mengekori kereta buruk tersebut tidak mendatangkan masalah bagi aku.

Setelah tiga puluh minit mengekori, akhirnya lelaki tersebut memasuki lorong kecil di sebelah kiri jalan utama. Kemudian di tengah-tengah hutan ada simpang tiga. Dia pusing ke kanan dan berhenti di hujung. Jalan mati rupanya. Kemudian dia keluar dari kereta dan berjalan beberapa meter sehingga tiba di sebuah rumah. Dia masuk dan menutup pintu. Rumahnya tiada tingkap kaca, jadi aku tidak boleh lihat apa yang dibuatnya. Aku berkira-kira mahu melaporkan perbuatannya kepada polis… namun aku ada satu masalah. Aku tidak tahu membaca. Aku tidak tahu nama tempat tersebut, nombor plet kereta buruk itu dan juga nombor rumah. Memang aku nampak segala macam tulisan semasa masuk ke lorong kecil tadi, pada kereta dan pada rumah tetapi aku kesal, aku buta huruf. memang dari kecil aku tak diajar membaca. Ke sekolah pun tidak pernah.

Aku bersembunyi di sebalik pokok berdekatan kereta pembunuh tersebut sambil memikirkan cara untuk menyampaikan maklumat kepada polis. Sedang aku berfikir, daun-daun kering berguguran ditiup angin. Aha! Aku dapat satu idea.

Aku kutip satu daun kering dan pergi semula ke tempat kejadian. Aku mencari jalan masuk dan aku bernasib baik kerana ada sedikit bukaan di atas tingkap yang membolehkan aku masuk. Aku sapu darah wanita itu kepada daun dan kemudian aku terus pergi ke balai polis.

Sesampai aku di balai polis, aku letakkan daun di atas kaunter hadapan. Aku cuba menerangkan kepada pegawai polis di kaunter tentang pembunuhan yang aku saksikan tadi. Polis tersebut membeliakkan matanya dan menghalau aku. Semasa dia cuba menepis daun dengan tangan, darah melekat di jari kelingkingnya. Nah…

“Oi korang tengok ni, daun ni ada darah!” kata polis tersebut kepada rakan-rakannya. Mereka berkumpul melihat daun tersebut. Aku tak pasti apa yang mereka bualkan namun aku pasti mereka sedang membincangkan tentang daun tersebut.

Dari jauh mereka berkejar keluar mencari aku, “hah itu dia burung merpati yang bawa daun ada darah tadi! Jom kejar!”

Aku pun terbang perlahan-lahan dari tiang ke dahan, dari dahan ke tiang sehinggalah ke tepi hutan sebelum terbang ke rumah wanita yang mati ditikam tadi. Polis yang mengekor aku tadi berhenti di halaman rumah dan mengetuk pintu sementara rakannya menghubungi bantuan ambulan.

Sambil aku terbang tadi, ada aku terfikir mungkin tahun ini aku patut belajar kemahiran membaca supaya mudah aku melaporkan apa-apa kejadian yang tidak diingini.

Menulis? Itu cerita tahun hadapan. Tahun ini aku belajar membaca dahulu.

*Ini adalah prompt ke-11 untuk cabaran blog oleh Norsa’adah.

Frankfurt, 2013.
Comments Off on Pengalaman ngeri membuatkan aku ingin belajar