10 Creative Writing Prompts Aug2019,  BLOG BM,  FLASH FICTION

Teka-teki yang membawaku kembali ke Mala Strana

Dompetku begitu gemuk sekali namun bukanlah kerana gemuk duit; lebih kepada gemuk dengan resit dan kad loyalti. Setiap kali ke pasaraya, mesti resit akan kusimpan. Kemudian, bila dompet sudah sendat, aku mengeluarkan rest-resit lama dan menyemak satu persatu. Yang mana tidak penting, akan kubuang. Resit-resit buku dan barangan yang ada waranti akan kuletak sebelah.

Tiba masanya aku menyemak resit satu persatu kerana dompet telah gemuk. Ku belek satu-persatu, depan belakang. kadang-kadang pada resit ada kupon diskaun. Kena peka juga akan hal itu. Ada satu resit yang terlipat kelihatan ada kesan tulisan. Aku membuka lipatan resit dan sahlah ada mesej. Bukan, lebih kepada teka-teki. Dalam bahasa Inggeris, berbunyi:

I need you to help me discover a treasure chest. If you can answer the questions below, it will lead you to the chest. Please take necessary action.

What can run but never walks, has a mouth but never talks, has a head but never weeps, has a bed but never sleeps? What has bark but no bite? When you find the ‘dog’, please dig a hole and go inside.

Haha! Gila punya mesej. Sempat pula dia tulis panjang-panjang. Aku teliti semula resit lama tersebut. Resit kosong, tiada cetakan langsung. Di kepala resit tertera nama kedai buku Shakespeare & Sons beralamat di Malá Strana, Prague. Ceh! Ini mesti dia selit resit masa aku beli buku di sana.

Malam itu aku tidak tidur kerana beria menjawab dua teka-teki tersebut.

What can run but never walks, has a mouth but never talks, has a head but never weeps, has a bed but never sleeps? Kucing bisu tidur atas tembok! Tak mungkin. Lipas kudung? Oh, oh, serangga dalam cerpen Metamorphosis karya Franz Kafka? Tak mungkin juga.

What has bark but no bite? Yang ini mesti anjing tiada gigi! Kah, kah, kah, tak mungkin. Apa lagi jenis binatang yang menyalak? Binatang jalang yang menerjah menendang tapi tidak menggigit. Lol, Chairil Anwar.

Jam dua pagi, buku nota aku telahpun kupenuhi dengan jawapan yang mungkin sambil diselang-seli dengan conteng-contengan. Aku cuba melelapkan mata tetapi tidak bisa. Aku bangun dan mengambil botol biji kopi Papua. Kutimbang 10gram dan mengisarnya. Sambil mencurah air panas ke dalam tapisan alat drip, otakku masih ligat memikirkan teka-teki tadi. Sehinggalah aku menghirup kopi tersebut. TING!

Aku meneliti nota yang aku tulis dan membaca semula teka-teki berulang kali. Yes! Kali ini aku dapat kaitkan sesuatu—resit S&S, Kafka, anjing tiada gigi, kucing tembok… Semasa aku ke Prague tahun lepas, aku ada nampak kucing atas tembok di tepi sungai Vltava berdekatan Muzium Kafka dan anjing yang giginya ada dua batang.

Aha, sah! Aku harus kembali ke Prague!

Aku buka laptop, buka laman web Lufthansa dan tempah tiket ke Prague! Esoknya aku terbang dengan Lufthansa. Sambil melihat wayang John Wick 3, aku membaca semula nota-nota yang aku tulis, cuak kerana aku sanggup membazir duit untuk mencari sesuatu yang tak pasti. Setelah transit di Frankfurt selama dua jam, akhirnya aku sampai di Prague jam 10 pagi. Aku terus menaiki teksi dan pergi ke Muzium Kafka berdekatan Sungai Vltava. Aku menuju ke tepi muzium Di laman tepi sebelah muzium, ada pokok. Di situlah aku nampak anjing bergigi dua batang tahun lepas, namun anjing tersebut tiada. Aku yakin When you find the ‘dog’, please dig a hole and go inside merujuk kepada tempat tersebut.

Tetapi… mana mungkin aku menggali lubang di Muzium Kafka! Aku duduk termenung di bangku berhadapan muzium sambil memikir cara-caranya untuk menggali lubang di pangkal pokok tersebut. Entah bagaimana, aku kemudian disapa oleh seseorang yang memperkenalkan dirinya sebagai Gregor Samsa. Dia seorang yang agak pelik; memakai topeng Guy Fawkes dan baju mascot karakter Krtek. “I know what you’re thinking,” katanya. “What?” kataku acuh tak acuh. “The treasure under that dying tree,” jawapannya kali ini membuatkan biji mataku terbeliak. Dia tahu rupanya! Aku menceritakan segalanya tentang teka-teki tersebut.

Itulah permulaan bagaimana kami berbincang dan berkomplot untuk menggali lubang di bawah pokok di tepi laman muzium tersebut. Setelah dua hari lamanya merancang, kami pun pergi menggali pada suatu malam. Tiada orang pun di situ dan Gregor Samsa meyakinkan aku bahawa pengawal di situ telahpun diupahnya untuk tutup mulut. Kami pun menggali dan menggali sehingga penyodok kami terkena pada sesuatu. Gregor Samsa mengambil lampu suluh dan menyuluh, kelihatan seperti sebuah kotak! Gregor Samsa terus menggali sementara aku menjerit tanpa suara kerana terlalu keciwi sehingga terasa mahu terkencing! Aku berlari ke tandas dan kemudian kembali kepada Gregor Samsa.

Gregor Samsa tiada di situ dan keadaan senyap sunyi. Lampu suluh kelihatan terpasang di sebelah kotak harta karun yang terbuka luas. Aku memandang ke dalam kotak dan terdengar suara berkata, “The riddle told you to go inside…” dan kemudian satu tangan hitam berbulu menarik aku ke dalam kotak. Di dalam kotak itu rupanya luas, seluas Muzium Kafka. Tangan yang menarik aku tadi ialah Gregor Samsa dalam bentuk serangga. “Amélie, these are all yours,” katanya sambil menunjukkan harta karun berupa buku-buku lama, jurnal, manuskrip asal dan bermacam lagi yang berasal bukan sahaja dari Republik Czech, malah dari serata Eropah.

Aku ambil beberapa manuskrip asal, beberapa jurnal (salah satunya ialah jurnal pelayaran pelayar Eropah ke Melaka) dan beberapa buah buku. Selebihnya aku tinggalkan pada Gregor Samsa. “Please sell these to museums around the world, you can make billions,” kataku pada Gregor Samsa sambil memeluknya dan mengucapkan terima kasih. Aku betul-betul ikhlas memeluk Gregor Samsa kerana menganggap dia serangga yang paling machomel dalam dunia.

Pipi Gregor bertukar kemerahan dan sedikit demi sedikit dia bertukar menjadi seorang lelaki yang kacak. Metamorfosis kepada Keanu Reeves secara tepatnya.

Aku pengsan!

Prague, Czechia, 2018.
Comments Off on Teka-teki yang membawaku kembali ke Mala Strana