BLOG BM,  BOOKS

Sekumpulan Epitaf dan Surat-Surat Yang Lewat oleh Karl Agan Masih Belum Terlewat untuk Dibaca.

Semasa saya membelek-belek buku-buku di gerai Sang Freud Press, saya bertanya pada penjual buku, buku puisi manakah yang paling bagus? Mereka menyarankan beberapa buah buku puisi, termasuklah buku Sekumpulan Epitaf & Surat-Surat Yang Lewat oleh Karl Agan.

Tertarik dengan blurpnya, saya pun membeli karya Karl Agan.

Kata orang, satu-satunya ubat untuk patah hati adalah dengan menulis puisi. Rupanya itu hanya mitos. Puisi hanyalah sebuah taman yang sunyi. – Karl Agan.

Membaca puisi menambahkan perisa kopi hitam pekat.

Kulit bukunya menarik; potret Karl Agan dalam foto hitam putih tunduk memegang topi, merenung hatinya yang patah, barangkali. Perekabentuk dan penerbitnya ialah Sang Freud Press, manakala Fotografi oleh Irman Noor.

Buku puisi yang diterbitkan pada tahun 2015, menghimpunkan 107 buah puisi Karl Agan (atau Karl Lucas merujuk kepada halaman prelim) yang diciptanya dari tahun 2013-2014. Antara puisi-puisinya bertemakan diri, cinta, persahabatan, keluarga, kehidupan dan masa hadapan.

Contoh puisi tentang diri:

O Tuhan
aku masih sering bangun pagi
meneliti cermin
dan melihat orang-orang yang kuingin jadi.
– Karl Agan (Topeng, halaman 23)

Dalam puisi ini Karl mengajak kita merenung tentang diri; adakah kita masih memakai topeng dan keluar memainkan peranan di pentas kehidupan. Saya kira ini relevan buat diri saya. Mungkin selama ini saya mahu jadi apa yang orang mahu saya jadi, menggembirakan orang lain kecuali diri saya, tanpa memikirkan kesannya pada diri saya. Kini, saya sudah buang ‘topeng’ itu. Saya tidak lagi melihat cermin. Hanya melihat jika ada jerawat di muka yang perlu dirawat.

Satu puisi yang menyentuh hati saya ialah yang bertajuk Ibu:

Manik-manik airmatamu
kusimpan di dalam kocek bajuku.
Setiap kali aku ingin menyerah dan kalah
kutaruh sebutir di mataku;
doa-doa selalu kaukumpul dalam airmatamu
aku mengumpulnya dalam poket bajuku.
– Karl Agan (Ibu, halaman 22)

Ya, ada banyak lagi puisi Karl yang mencuit dan menyentuh hati. Kenalah anda dapatkan Sekumpulan Epitaf dan Surat-Surat Yang Lewat dan baca sendiri. Harganya saya tak ingat kerana memang setiap kali membeli, saya tak fikir tentang harga. Bayar sahaja. Jangan juga tanya saya harga gula. Main bayar sahaja juga.

Saya akhiri reviu ini dengan sajak dua baris Karl yang pasti mencuit hati yang berbunyi:

Malam ini sajak bercuti
penyairnya mati tertusuk kata-kata sendiri.”
– Karl Agan (Epitaf II, halaman 104)

2 Comments