10 Creative Writing Prompts Aug2019,  BLOG BM,  Italy

The Art of Sesat

Mujur sekarang ada GPS, kalau hendak ke mana-mana, guna sahaja aplikasi peta Google atau Waze dalam telefon bimbit. Betapa mudahnya hidup. Kalau dahulu, kena rujuk pada peta atau pun tanya pada orang secara rawak dengan harapan orang itu tahu arah tempat yang kita hendak pergi.

Pertama kali sesat

Teringat saya 9 tahun yang lalu; pertama kali saya sesat di Eropah. Telefon saya ketika itu bukan jenis pintar dan tiada akses roaming atau data Internet tempatan.

Tempat pertama saya sesat ialah di Venezia pada tahun 2010. Di Venezia tiada kereta dibenarkan jadi semuanya perlu berjalan kaki.

Dari Stesen Santa Lucia saya mengambil masa yang agak lama untuk sampai ke Piazza San Marco kerana tiada peta di tangan. Saya memang tidak membuat persediaan mahupun membuat rujukan di mana-mana laman web. Sampai Bologna, keluar bilik, ambil teksi pergi stesen, beli tiket dari kaunter (itupun satu hal) dan naik keretapi ke Venezia. Seorang diri.

Di Venezia, saya seperti tersesat dalam sebuah permainan maze dan tiada jalan keluar. Jalan-jalannya kecil dan setiap jalan yang saya ambil pasti akan ada pintu rumah orang di penghujungnya. Dua jam lamanya saya sesat dan rasa mahu menangis. Akhirnya saya duduk dan tenangkan diri. Saya ingatkan pada diri saya, find where the crowd is. Melalui deria pendengaran, saya menjejaki arah menuju di mana ada ramai orang. Alhamdulillah, saya telah sampai ke jalan utamanya; yang juga kecil seperti lorong-lorong biasa kawasan perumahan. Pada masa itu, saya berjanji pada diri sendiri, lain kali saya akan bawa peta.

Kali kedua sesat

Keesokan harinya saya keluar dengan yakin dan berazam tidak mahu sesat. Saya mahu ke pusat bandar Firenze dan lihat Duomo yang gah itu tetapi tiba-tiba saya tiba di kawasan perkampungan yang lenggang. Tiada tanda-tanda kehadiran pelancong pun di situ. Saya berjalan dan berjalan mencari Duomo tetapi tidak berjumpa. Akhirnya saya terjumpa Kafe Internet dan masuk untuk menggunakan komputer dan cari maklumat. Rupa-rupanya saya tersilap stesen! Saya sepatutnya pergi ke Stesen Firenze SMN sebaliknya saya ke Stesen Firenze Rifredi. Ish. Sebelum membayar untuk tempoh saya gunakan Internet, sempat saya update di FB, ‘Sesat di Firenze!’

Selepas itu, saya berjalan kembali ke stesen, saya beli kopi dari mesin dan duduk di bangku sambil termenung. Saya lihat sekeliling stesen dan sebelum saya bangun untuk ke membeli tiket pulang ke Bologna, saya nampak papan tanda LED, “Firenze SMN – Partenza 5 min”. Cepat-cepat saya beli tiket dan naik keretapi. Phew, akhirnya sampai juga di Bandar Firenze. Jam menunjukkan pukul 3 petang, saya mundar-mandir di kawasan stesen dan keluar sedikit ke kawasan membeli-belah. Dapatlah beli t-shirt untuk bawa balik. Saya tidak berani mencari arah ke Duomo kerana takut tersesat. Jam 5 petang, saya beli tiket pulang ke Bologna. Dalam keretapi, saya memujuk hati saya, “tak mengapa, Firenze aku akan datang lagi lain tahun.”

Kali ketiga sesat

Kemudian, empat tahun selepas itu saya sesat lagi, ketika saya kembali semula ke Venezia. Saya lupa janji saya pada diri saya untuk kembali dengan peta, sebaliknya saya kembali dengan sahabat saya, Evi.

“Emila, you pernah datang sini, kan? Jom kita cari tempat untuk melukis plein-air!?” kata Evi teruja. “Uh-um,” ujar saya sambil teringat peristiwa sebelum ini. “I try,” jawab saya lagi sambil tergelak kecil.

Sesat kali ketiga ini terjadi semasa belum sampai ke Venezia pun. Haha! Alkisahnya, kami tersilap menaiki keretapi. Kami menaiki keretapi regional yang lebih murah dari keretapi laju, seawal jam 9 pagi. Kami jangkakan jika kami tiba awal, kami akan dapat melukis di banyak tempat di Venezia.

Sambil berbual, kami pun menaiki keretapi. Dalam keretapi kami berbual lagi sambil melihat-lihat pemandangan di luar yang indah. Ada bukit-bukau, ada rumah batu di tengah-tengah ladang, ada bandar tua dan macam-macam lagi pemandangan yang menyegarkan mata. Setelah sejam setengah dalam keretapi, saya mula hairan kerana pemandangannya tidak sama seperti yang saya lihat dahulu. “Ah, mungkin ikut jalan lain,” bisik hati saya. Sehinggalah di stesen berikut, keretapi berhenti dan seorang konduktor tiket naik untuk memeriksa tiket kami.

No, no, Padua, Padua,” kata konduktor tiket sambil menunjuk arah ke hadapan. “Questo Venezia,” bilangnya lagi sambil menunjuk pada tiket kami. Hah sudah! Silap keretapi rupanya!

Pronto, pronto,” kata konduktor menyuruh kami turun cepat dengan signal tangan kerana keretapi akan bergerak sebentar lagi. Sebelum itu, dia memberi kami tiket untuk menaiki keretapi pulang ke Stesen Bologna, “Dieci,” sambungnya sambil mengangkat kesemua sepuluh jari dan tunjuk telunjuknya pada saya, kemudia diulangi pergerakan jari yang sama pada Evi. Aha! Sepuluh Euro seorang. Kami membeli tiket darinya dan turun. Hahahahahah! Kami gelak bagai nak gila! Saya minta maaf pada Evi kerana tersilap keretapi.

Akhirnya selepas menaiki keretapi semula ke Bologna, dan naik keretapi yang betul ke Venezia dari sana, kami pun sampai sekitar jam 2 petang. Banyak masa habis di perjalanan. Anehnya, apabila sampai di Venezia, saya tahu pula arah mana yang hendak dituju. Kami duduk melukis sehingga jam 6 petang di dua kawasan di situ. Semasa perjalanan pulang dari Venezia, Evi bersuara, “lain kali kita pergi ke tempat yang kita sesat siang tadi, nak Emila? Apa nama stesennya?”

“Montselice,” jawab saya sambil memikirkan adegan kami sesat lagi nanti di situ pula.

Sesat berkali-kali

Ada banyak lagi kejadian sesat; antaranya, tersilap stesen untuk ke Cinque Terre yang membuang masa kami selama 3 jam, tersilap menaiki bas untuk pulang ke tempat penginapan yang menyebabkan kami kesejukan di malam buta sehingga jam 10 malam sehinggalah kami dapatkan bantuan pekerja kafe membantu kami menelefon teksi untuk pulang setelah tiada satu pun bas atau teksi yang lalu di perhentian bas yang kami tunggu.

Kalau mahu bercerita tentang sesat di sini memang tak habis sebab banyak lagi cerita sesat ketika kembara ke beberapa negara lain dan juga di negara sendiri. Apa yang saya boleh katakan, sesat mengajar saya untuk bertenang, melihat dan mendengar dengan baik serta jangan malu atau takut bertanya. Belajar sedikit bahasa tempatan yang perlu seperti huruf, ucapan lazim, maksud perkataan di stesen keretapi, dan sebagainya.

Uno, due, tre , quattro, cinque, sei, sette, otto, nove, DIECI. Dieci sentiasa mengingatkan saya pada konduktor keretapi di Montselice.

Stesen Fornovo. Kami turun di sini kerana kami jangkakan kami perlu tukar keretapi di sini. Tetapi rupanya kami perlu tukar di Stesen Modena.
Bangunan usang berdekatan Stesen Fornovo.

Comments Off on The Art of Sesat