BLOG BM

Laut

Banyak sudah cerita laut saya tulis dalam blog ini, sehingga tak tahu apa yang saya mahu tulis tentang LAUT (prompt hari ini). ‘Ke laut’ betul saya hari ini.

Teringat saya pada cerpen tak jadi saya; kisah burung bernama Piah mencari seorang pakcik yang selalu beri dia makan. Piah ini terbang sampai ke Pulau Pinang cari pakcik tu. Adalah sedikit kisah dia di tengah laut. Hahaha. Baca sahajalah ya untuk hiburan.

Sudah seminggu Piah merantau ke kota. Derusan kereta dan hiruk-pikuk bunyi kereta meresahkan fikiran. Piah menggaru sayap dengan jari kaki sambil termenung di atas bumbung bangunan lama penjajah yang sudah dibaikpulih.

Dari tempat Piah datang, di sebuah bandar kecil, bumbung bangunannya dipenuhi dengan lumut, sudah hampir roboh dan terbiar tanpa dipedulikan.

Ada sesuatu tentang bangunan usang terbiar itu. Bangunan usang dan Pakcik Muthu sangat sinonim. Pakcik Muthu suka melawat bangunan-bangunan lama sekitar bandar untuk memberi makan kepada burung merpati. Setiap pagi jam delapan, Pakcik Muthu pasti hadir tanpa gagal; dengan berbekalkan beg sandang yang dipenuhi dengan bijirin makanan burung.

Menurut burung-burung tua di situ, Pakcik Muthu mengalami sakit mental, kadangkala suka bercakap sendirian, kadangkala suka bercakap dengan burung. Bagi Piah, itu semua tidak bermaksud Pakcik Muthu gila, mungkin lebih kepada meluahkan perasaan. Piah juga selalu berkicau sendirian.

Sesiapa yang lalu di situ akan tahu yang Pakcik Muthu selalu memberi ‘nasihat’ kepada burung-burung di situ. Nasihat Pakcik Muthu berbunyi: “Aku ini tidak akan selamanya di sini beri kamu semua makan. Cuba lebarkan sayap kamu semua dan terbang jauh sedikit. Kalau aku ada sayap, aku sudah terbang jauh-jauh dan nikmati keindahan dunia. Di luar sana mesti ada makanan yang sedap, ada sawah padi menguning, ada lautan biru, ada gunung ganang diselimuti awan, ada pohon-pohon jingga, ada gunung putih.”

Namun, sejak seminggu yang lepas Pakcik Muthu tidak muncul lagi. Piah yakin, Pakcik Muthu telah mendapat sayap dan sudah terbang melihat dunia. Piah berazam mencari Pakcik Muthu.

* * *
Di singgahan pertama, Piah dapat makan makanan yang sedap. Piah dapat makan saki-baki roti canai, nasi ayam, nasi lemak, sate daging dan sebagainya. Walaubagaimanapun, Piah dapat saki baki dari saki-baki sahaja kerana burung-burung gagak di kawasan kota batu itu agak agresif. Mereka menghalau Piah jauh-jauh dan berkenduri sesama mereka sahaja.

Sejak sampai di kota, Piah meninjau semua bangunan usang yang ada di situ. Tiada satu bangunan pun yang tertinggal. Kelibat Pakcik Muthu memang tiada, tetapi Piah ada berjumpa ramai orang yang sama hobi dengan Pakcik Muthu. Setelah habis bangunan usang Piah tinjau, Piah melebarkan sayap dan terbang ke utara.

Selepas dua hari Piah terbang, Piah tiba di kawasan sawah padi menguning. Piah terbang rendah dan memagut padi dengan gembira. Sedang Piah makan dari dahan ke dahan, Piah terserempak dengan raksaksa yang mengerunkan; matanya buntang, giginya bertaring! Bunyi traktor bajak juga menakutkan Piah. Piah segera terbang dari situ dan mencari bangunan usang. Dari jauh Piah nampak seperti kelibat Pakcik Muthu berdekatan bangunan usang. Piah hinggap di tiang lampu untuk melihat rupa si pemberi makan namun orang itu bukanlah Pakcik Muthu.

Piah terbang lagi sedikit ke utara dan tiba di singgahan ketiga; sebuah pulau kota lama. Piah dapat lihat lautan yang luas berwarna biru. Piah lihat ada kenderaan air; ada yang besar dan perlahan dipenuhi penumpang, ada yang kecil dan laju dimuati dua tiga orang, ada juga yang seperti motosikal dipandu oleh satu orang. Bunyi enjinnya yang bising menggerunkan. Lebih menggerunkan apabila motosikal itu merebaskan air laut ke badan Piah yang membuatkan Piah hampir sahaja lemas. Piah terbang ke pohon rhu di tepi pantai.

Piah mengisi perut dengan sisa-sisa pasembor yang didapati dari tong sampah di tepi pantai itu untuk menambah tenaga. Piah juga cuba mencari Pakcik Muthu di sekitar kota lama, tetapi tidak berjaya.

Piah pulang semula ke pohon rhu. Piah menyaksikan matahari perlahan-lahan membenamkan diri di dalam lautan yang kemudiannya bertukar menjadi ungu dan jingga.

Itu sahaja buat masa ini. Ada panjang lagi dan Piah akan jumpa laut lagi. Lain kalilah saya sambung bila ada prompt yang tiba-tiba sesuai untuk babak seterusnya.

*Sumber prompt dari Norsa’adah: 31 Perkataan Sebagai Pencetus Idea.

Comments Off on Laut