BLOG BM

Io Cucino Cioccolata Calda!

Teringat saya sewaktu minum coklat panas (Cioccolata Calda) di Arcidosso empat tahun lepas. Itulah kali pertama saya minum coklat panas. Coklat panas yang sangat pekat. Waktu itu cuaca sejuk, dan minum coklat panas sangat melegakan dan memanaskan badan.

Minum coklat panas dan makan pastri apantah sambil menikmati cuca sejuk di luar kafe di Arcidosso. Coklat panas dan air coklat panas tidak sama. Coklat panas tidak ditambah air, hanya susu mengikut sukatan dan dimasak dalam periuk.

Tiba-tiba hari ini teringin pula minum coklat panas. Ini semua gara-gara prompt dari Sa’adah untuk hari ini iaitu COKLAT. Saya ambil ini sebagai cabaran untuk buat benda baharu juga.

Jadi, hari ini saya buat pertama kalinya masak coklat panas. Resepinya saya cari di Internet. Gigih saya cari bahan-bahannya di pasaraya. Saya cari coklat gelap tanpa gula (atau yang minimal prosesnya). Saya cari di kedai bakeri, namun semua coklatnya ada gula. Saya jumpa satu coklat di Giant yang bebas-gula jenama Royal De Dolton. Bolehlah. Kemudian cari susu segar. Memang payahlah juga, selalunya kedai mamak ada jual susu segar terus dari ladang tapi kadang-kadang peladang tak hantar ke kedai, jadi saya beli sahaja susu segar 100% Australian Goodday di Giant.

Tunggu petang sikit anak balik dari koko di sekolah, saya pun masak coklat panas.

Baru buat kejap tadi! Haha. Anak saya dah order untuk esok. Nasib baik saya beli coklat lebih.

Saya ubahsuai resepi mengikut lidah saya dan ini resepinya; bahan-bahan yang diperlukan ialah 120g coklat gelap, 2 cawan susu segar, 1 sudu besar gula dan 2 sudu besar tepung jagung. (Hidangan untuk 3 orang).

Cara-caranya: Masukkan coklat dan sedikit susu ke dalam kuali (api mesti kecil sentiasa). Kacau dengan senduk kayu sehingga coklatnya cair. Kemudian masukkan tepung jagung ke dalam sukatan 2 cawan susu tadi dan kacau sehingga sebati, kemudian masukkan dalam periuk coklat. Masukkan gula. Terus panaskan dengan api yang kecil sehingga ianya menjadi sos coklat pekat. Bila coklat melekat pada senduk kayu tadi, maknanya sudah masak.

Sebagai tambahan, boleh letak serbuk kayu manis dan krim putar. Celupkan terus kayu manis pun boleh. Buon Appetito!

Antara kebaikan coklat ialah meningkatkan peredaran mikro dalam kulit kita, justeru menghangatkan badan kita. Di samping itu, sebatian kimia yang terkandung dalam coklat dapat mencetuskan otak untuk melepaskan endorphin yang mendorong perasaan tenang. Coklat juga mengandungi banyak mineral dan vitamin.

Mengikut sejarah coklat, sebelum tahun 1850, hanya golongan elit dan kaya sahaja yang mampu minum coklat, namun selepas tahun tersebut, bar coklat mula dibuat. Harga koko mula jatuh dan perladangan koko mula bercambah di seluruh hutan tropika seluruh dunia (termasuk Indonesia dan Malaysia) sejak itu.

*Sumber prompt dari Norsa’adah: 31 Perkataan Sebagai Pencetus Idea.

2 Comments