BLOG BM

Hijau

Dia terkebil-kebil di meja makan. Sementara menunggu makanan yang dipesan tiba di meja, suami dan anaknya memegang telefon. “Tet, tet, tet,” bunyi dari telefon si anak manakala suami mengangguk-ngangguk dan tergelak membaca sesuatu dari telefon.

Dia termenung dan mengimbau kembali zaman dahulu. Semasa telefon masih belum cerdik. Semasa telefon berat seperti batu. Ketika itu, dia dan suaminya selalu menikmati kehijauan alam. Ke taman hijau, kembara kereta menyusuri hutan hijau, juga panjat tangga Batu Caves sampai hijau. Dia tersengih sendiri.

Kemudian roda-roda minda berputar ke zaman dia masih kanak-kanak. Ketika dahulu, tiada telefon untuk bermain games. Yang ada hanya alam. Bermain apa sahaja yang boleh dibuat dari alam. Main lastik yang diperbuat dari dahan pokok dan pelurunya dari biji cenerai muda yang keras. Jika mahu ‘ditanda’ musuhnya, guna buah mengkudu yang masak. Nah hitam baju si musuh! Mahu main batu seremban, kutip sahaja batu di sungai. Nah, terus terjun sungai jika kepanasan!

Boleh sahaja main teng-teng; lukis kotak kapalterbang dengan ranting, cari batu atau serpihan kulit pokok untuk dibuat buah penanda kotak (atau dipanggil rumah), dan lompat setiap kotak dengan sebelah kaki! Tandakan banyak rumah, sudah boleh menang game.

“Air, kak,” kata pelayan restoran.

Dia menyua mulut gelas ke bibir dan minum. Suami dan anak masih leka bermain telefon.

“Oklah, letak telefon semua. Mari kita berbual,” katanya.

Suami dan anak masih memegang telefon sambil menghabiskan saki-baki games dan bacaan. Kedua-dua mereka melihat mukanya.

“Borak apa, ibu?” tanya anaknya sambil meletakkan telefon. Suaminya memandang juga sambil meletakkan telefon di atas meja.

“Er…emmm…” Dia buntu. Perlahan-lahan dia menyeluk tangan ke dalam beg tangan dan membawa keluar sesuatu.

“Tak mengapalah. Teruskan dengan agenda masing-masing.”


*Sumber prompt dari Norsa’adah: 31 Perkataan Sebagai Pencetus Idea.

One Comment

  • haslina binti hamzah

    Assalamualaikum Pn… sy silent reader blog puan..
    ttg hp.. sy pun rindukan masa lalu.. masa ketiadaannya.. masa sama sama nonton tv.. main rondes atau pun susun selipar.. betul.. cukup rindu.. saya rasa .. handphone ni adalah saka era baru eh.. hehehe.. semoga puan dikurniakan kesihatan yg baik untuk terus berkarya..