BLOG BM

Sederhana

Saya pernah bekerja berlebihan kerana mengejar deadline sehinggakan saya jadi hipertensi. Kepala saya berdenyut-denyut selama beberapa hari dan apabila tidak tahan sakit, saya pergi berjumpa doktor. Doktor periksa dan beri diagnosis, dia juga beri saya ubat dan nasihatkan saya supaya jangan terlalu stress.

Saya juga selalu ambil pusing apa yang orang cakap pada saya sehinggakan saya mengalami simptom-simptom depresi.

Pernah juga saya kerja tiap-tiap hari balik lambat, sampaikan anak tertidur semasa saya ambil dia tiap-tiap malam. Bila pagi esoknya nak pergi kerja, dia masih lagi mengantuk. Keakraban ibu-anak itu tiba-tiba tergugat disebabkan saya terlalu kuat bekerja.

Ada banyak lagi contoh benda yang saya buat berlebihan yang tak mahu saya sebutkan di sini kerana ianya akan membuatkan luka lama berdarah kembali. Saya tidak ingin pergi ke daerah yang telah saya tinggalkan. Biarlah ianya menjadi pengajaran kepada saya.

Dari pengalaman saya belajar bahawa segala-galanya dalam kehidupan boleh diambil dengan pendekatan yang sama — kesederhanaan. Jika terlalu buat sesuatu secara berlebihan, apa yang kita kendong akan keciciran.

Mencari keseimbangan yang sihat dalam setiap situasi dan perkara dalam kehidupan. Mungkin sukar untuk melakukannya tetapi cubalah. In sya Allah boleh.

Berikut adalah cara penyelesaian yang saya ambil untuk bersederhana:

Kerja. Saya berhenti kerja dan duduk di rumah jaga anak sambil buat apa yang saya minat dari rumah. Suami pun boleh bagi saya makan walaupun tak semewah sewaktu bekerja. Anak pun terjaga dan rapat dengan saya semula.

Saya kurangkan ambil kerja-kerja yang boleh membuatkan tahap stress saya naik. Saya tapis dahulu.

Perasaan. Saya jauhkan diri mendengar cakap-cakap orang. Saya berhenti membaca komen-komen negatif. Saya luahkan emosi dalam bentuk karya seni rupa kerana ini secara tidak langsung dapat menyalurkan emosi ke tempat lain. Kadang-kadang saya akan tengok kembali karya-karya tersebut untuk muhasabah diri dan akan tersenyum dan terfikir, “sensitifnya aku ini’.

Membaca juga mengurangkan tahap stress saya. Saya suka baca koleksi puisi dan cerpen.

Sosial media. Saya buat hantaran yang gembira sahaja, yang berkaitan dengan kerja. Saya juga tapis berita yang lalu di ‘feed’ saya.

Kawan. Saya simpan kawan-kawan yang boleh menangis bersama-sama semasa kesusahan dan yang menghulurkan tangan menyambut saya ketika saya hampir ‘tenggelam’.

Tuhan. Dialah yang Maha Kuasa. Mengadu kepadaNya semasa kesusahan dan jangan lupakanNya semasa senang.

Saya harap tip-tip ini dapat mengingatkan kita semua bahawa segala-galanya dalam kehidupan adalah tentang kesederhanaan —yang membawa kepada kehidupan yang lebih sihat dan bermakna.

*Sumber prompt dari Norsa’adah: 31 Perkataan Sebagai Pencetus Idea

Comments Off on Sederhana