Anecdote

Raafik, Ali dan Sangam

Tentunya ada perkara yang akan sentiasa mengingatkan saya kepada Pesta Buku Antarabangsa Chennai 2024; perbincangan dengan Raafik, perbincangan dengan Ali dan buku berwarna merah jambu oren dengan teks berwarna putih yang menarik perhatian sejak hari pertama pesta.

Setelah menghadiri beberapa pertemuan, saya agak kepenatan bercakap. Namun saya gagahkan diri untuk ke pertemuan seterusnya dengan ejen sastera yang juga bekas wartawan, anak muda yang bernama Raafik. Dia menghulurkan katalognya. Saya meneliti katalog dan kemudian memintanya menceritakan tentang dua kisah dalam buku kanak-kanak yang tersenarai. Dia bercerita dengan penuh emosi dari mula sampai habis untuk kedua-dua buku. Setelah habis bercerita, saya katakan padanya dia boleh menjadi seorang pencerita yang bagus. “I have a very good listener,” katanya sambil tersenyum. Kemudian tiba pula giliran saya pula untuk mempromosi buku-buku yang saya bawa. Oleh kerana saya bukanlah pencerita yang bagus (seperti Raafik), saya berikan ringkasan cerita sahaja dan kemudian biarkan ilustrasi bercerita. Matanya bersinar dan perkataan ‘wow’ tidak lekang dari mulutnya. “This is amazing! So beautiful.” Menurut Raafik, ketika kecil di rumahnya tiada sebarang buku kanak-kanak, hanya ada suratkhabar dan novel. Dia selalu curi membaca novel milik kakaknya. “Was the novel appropriate for your age?” tanya saya. Dia ketawa dan menjawab, “No, and I was 13!” Kami ketawa. Dari satu buku ke satu buku yang lain sehingga habis lima buah buku dibacanya. Sebelum pulang saya mencarinya dan memberi dua buah buku bergambar. Dia gembira bukan kepalang. Sebelum tamat pesta dia mencari saya untuk mengucapkan selamat jalan dan berterima kasih sekali lagi. Sejuk hati.

Di satu pertemuan lain, saya bertemu Ali. Kami berbahas tentang satu perkara dan setelah tamat perbincangan, saya beredar untuk pertemuan lain dengan perasaan tidak puashati yang mungkin sedikit terpancar di muka. Sedang saya menunggu untuk pertemuan selanjutnya, Ali datang mencari saya, “Don’t take my words too hard.” Rupanya Ali perasan muka saya yang masam tadi. Saya angkat bahu dan bersetuju, “OK”, kata saya, malas untuk meneruskan kekeruhan.

Sejak hari pertama lagi, mata saya terpandang sebuah buku yang jauh di rak paling atas di ruang berdekatan dengan reruai Malaysia. One Hundred Sangam Love Poems. Hmm…. Saya buat carian; wow! seratus puisi zaman Sangam 300M. Saya harus dapatkan buku itu kerana ingin membacanya. Hari terakhir pesta, hati saya masih pada buku Sangam. Saya bertanya kepada pekerja sukarela jika saya boleh ambil buku tersebut, namun tidak dibenarkan. Ketika itu saya ternampak Ali. “Ali, I want Sangam,” sambil menunjuk kepada buku tersebut. Ali terus pergi ambil kerusi, panjat, ambil dan berikan pada saya. “Thank you Ali!” kata saya dengan gembira. Ali mengeleng-gelengkan kepalanya melihat muka saya yang tidak lagi masam.

Comments Off on Raafik, Ali dan Sangam