BLOG BM

Hadiah dari Daiana

I have something for you for your birthday,” kata Daiana sambil menghulur beg comel berisikan sesuatu.

Setiap Oktober, jika saya ke Frankfurt, Daiana tidak pernah lupa menghadiahkan saya sesuatu. Tahun lepas tidak terkecuali. Daiana menghadiahkan saya set cetakan lino. Saya pernah memberitahu Daiana yang saya ingin belajar semula cetakan tersebut kerana kali terakhir saya membuat cetakan lino ialah pada tahun 1986 ketika saya belajar di tingkatan lima.

You said you wanna start again, so I bought this set for you. No excuse,” katanya sambil tersengih. Saya tersenyum sambil memeluknya dan mengucapkan terima kasih atas pemberian tersebut. Sejujurnya saya sangat terharu kerana dia berusaha mencari set tersebut untuk dihadiahkan kepada saya. Daiana sentiasa memberi perangsang pada saya untuk terus berkarya.

Beberapa hari sebelum itu, ketika perjalanan pulang dari Prague, kami singgah di Albrecht Dürer Haus di Nürnberg. Saya memang sudah lama tertarik dengan teknik cetakan kayu (woodcut). Sangat kagum dengan ketelitian old masters dalam penghasilan blok cetakan yang diukir dengan tangan. Woodcut dan linocut secara teknikal sama prosesnya cuma bahan untuk diukir itu sahaja berbeza.

Apabila pulang dari Frankfurt Oktober lalu, saya sangat sibuk dengan macam-macam hal sehinggalah ada masa terluang sedikit pada Februari lepas.

Saya belajar kembali prosesnya dari mula. Memang tak ingat apa yang saya belajar masa tingkatan lima 33 tahun yang lampau.

Saya tidak risau kalau tersalah ukir kerana ada lima kepingan lino yang Daiana beri. Saya try and error sehingga siap untuk dicetak. Hasilnya sungguh memuaskan hati!

Beberara tahun lepas saya juga ada melawat Muzium Gutenberg di Mainz dan susulan dari kedua-dua lawatan inilah yang menyalakan semula minat saya terhadap seni ini. Jikalau Daiana tidak memberikan set cetakan lino tersebut, nyalaan tersebut boleh diibaratkan seperti menyalakan mancis api yang kontot yang hanya beberapa saat padam begitu sahaja.

Demikianlah, jika mahu nyalaan terbakar lama, mesti ada lilinnya. Lilin itu metafora kepada sahabat-sahabat yang terus memberi semangat dan sokongan kepada saya tanpa henti.

Gambar-gambar di Albrecht Dürer Haus, Nürnberg dan Gutenberg Museum, Mainz, Germany. 2014 dan 2018.

*Sumber prompt dari Norsa’adah: 31 Perkataan Sebagai Pencetus Idea

Comments Off on Hadiah dari Daiana