BLOG BM

Zaitun

Ketika kembara di Eropah, memang selalu makan buah zaitun; terutamanya dalam makanan pasta dan pizza. Buah zaitun yang dijeruk dihiris halus dan dicampur dalam makanan. Lain pula ceritanya di Abu Dhabi. Di sana saya makan jeruk zaitun sebagai salad untuk sarapan.

Salad Arab terdiri dari sayuran segar iaitu timun, bawang, karot, daun salad, tomato, daun pudina, jeruk buah zaitun dan beberapa lagi jeruk sayuran.

Mula-mula saya tak mahu makan jeruk zaitun pagi-pagi lagi sebab kandungan asidnya mungkin akan menyebabkan saya sakit perut tetapi bila di makan bersama sayuran yang lain, sedap pula. Ditambah pula makan dengan roti cicah hummus. Jeruk zaitun itu mengimbangkan rasanya. Yumyum!

Bercerita tentang buah zaitun, tahukah kita sejarah buah ini? Saya buat sedikit bacaan dan saya kongsikan di sini.

Bukti arkeologi dan saintifik menunjukkan bahawa pokok zaitun (Olea europaea) pertama kali dijumpai/ditanam di sempadan antara Turki dan Syria. Dari sana, penanamannya tersebar ke seluruh Mediterranean, Israel, Palestina, Jordan, Lubnan, Greek, Itali, Perancis, dan Sepanyol. Orang-orang di timur Mediterranean telah mengisar minyak zaitun untuk 6,000-8,000 tahun yang lalu. Minyak zaitun digunakan sebagai bahan untuk memasak, kosmetik, ubat, dan lampu. Obor Olimpik yang asal juga dinyalakan dengan menggunakan minyak zaitun.

Dari sudut pandangan sains pemakanan, minyak zaitun mengandungi asid lemak tidak tepu yang dikelaskan sebagai “monounansaturated” yang mampu merendahkan kolesterol berbahaya di dalam darah.

Di rumah, saya selalu simpan sebotol jeruk zaitun dalam peti sejuk dan jika terasa ingin makan, saya letak dalam mangkuk dan makan begitu sahaja. Memang masam tapi sedap!

Dalam Al Quran, buah zaitun ada disebut oleh Allah sebanyak 7 kali iaitu 2 kali zaitun itu disebut sendirian sementara 5 kali disandingkan dengan beberapa buah lain seperti kurma, delima, anggur dan buah tin (fig). Antaranya ialah:

Pohon Zaitun Dalam Q.S An-Nuur ayat 35
Allah (Pemberi) cahaya (kepada) langit dan bumi. Perumpamaan cahaya Allah, adalah seperti sebuah lubang yang tak tembus, yang di dalamnya ada pelita besar. Pelita itu di dalam kaca (dan) kaca itu seakan-akan bintang (yang bercahaya) seperti mutiara, yang dinyalakan dengan minyak dari pohon yang berkahnya, (yaitu) pohon zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur (sesuatu) dan tidak pula di sebelah barat(nya), yang minyaknya (saja) hampir-hampir menerangi, walaupun tidak disentuh api. Cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis), Allah membimbing kepada cahaya-Nya siapa yang dia kehendaki, dan Allah memperbuat perumpamaan-perumpamaan bagi manusia, dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.

Pohon Zaitun Dalam QS Al-An’am Ayat 99
“Dan Dialah yang menurunkan air hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan dengan air itu segala macam tumbuh-tumbuhan maka Kami keluarkan dari tumbuh-tumbuhan itu tanaman yang menghijau. Kami keluarkan dari tanaman yang menghijau itu butir yang banyak; dan dari mayang korma mengurai tangkai-tangkai yang menjulai, dan kebun-kebun anggur, dan (Kami keluarkan pula) zaitun dan delima yang serupa dan yang tidak serupa. Perhatikanlah buahnya di waktu pohonnya berbuah dan (perhatikan pulalah) kematangannya. Sesungguhnya pada yang demikian itu ada tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman.

Pokok zaitun bersifat kehijauan sepanjang masa, maksudnya ketika musim sejuk pun dia tetap berwarna hijau. Bercerita tentang ini teringat saya akan satu cerita mengisahkan tentang pokok zaitun dan pokok tin. Begini ceritanya:

Di dalam hutan, Pokok Zaitun dan Pokok Tin tinggal berjiran. Pokok Zaitun sangat indah dan ia sangat berbangga dengan kecantikannya. Oleh kerana itu, ia menyombong dengan Pokok Tin.

Pada suatu hari ketika musim luruh, Pokok Zaitun berkata kepada Pokok Tin, “Saya mempunyai daun hijau pada dahan saya sepanjang tahun. Lihatlah keadaan awak bogel begitu tanpa daun pada musim luruh. Saya lebih cantik daripada awak.”

Pokok Tin tidak pernah berkata apa-apa kepada Pokok Zaitun dan sentiasa berdiam diri. Tidak lama kemudian musim sejuk pun tiba. Salji mula turun, dan sedikit demi sedikit jatuh ke atas daun-daun Pokok Zaitun. Lama-kelamaan dahannya tidak dapat menampung berat salji atas daun dan akhirnya patah dan jatuh ke bawah. Pokok Zaitun menjadi hodoh kerana banyak dahannya patah.

Pokok Tin yang tidak mempunyai daun masih teguh berdiri dengan dahan-dahannya yang tegap.


Pokok Zaitun di luar bilik penginapan saya di Arcidosso 2014.

*Sumber prompt dari Norsa’adah: 31 Perkataan Sebagai Pencetus Idea.

Comments Off on Zaitun