BLOG BM

Tanglung dan Kipas Kertas

Cerita ini diadaptasi dari sebuah dongeng dari Jepun.

Pada suatu masa dahulu, di sebuah kampung di Jepun, tinggal seorang bapa yang mempunyai dua orang anak lelaki. Dia menginginkan anak perempuan tetapi tidak kesampaian kerana isterinya meninggal dunia sebelum sempat mereka mendapatkan anak perempuan. Apabila kedua-dua anak lelakinya telah dewasa, mereka pun berkahwin. Bapa tersebut merasa sangat gembira kerana akhirnya dia mendapat dua orang menantu perempuan.

Setelah beberapa bulan, kedua-dua menantunya itu rindukan kampung halaman dan memohon kepada suami dan bapa mertua untuk pulang. Suami masing-masing membenarkan mereka pulang tetapi bapa mertua tidak membenarkan kerana takut kehilangan mereka.

“Tidak boleh,” kata bapa mertua mereka. Kedua menantu perempuan tersebut akur.

Setelah beberapa tahun, rindu mereka kepada kampung halaman dan keluarga makin mendalam. Mereka meminta izin sekali lagi dari bapa mertua mereka. Bapa mertua berfikir sejenak, “Adakah mereka tidak sayangkan aku? Adakah mereka mahu meninggalkan aku dan tidak pulang lagi?” Dia berfikir lagi dan mendapat satu idea.

Dia kemudian menoleh kepada menantu pertama yang lebih tua sambil berkata, “Kamu boleh pulang, tetapi jangan kembali kecuali kamu bawa pulang api dibalut kertas sebagai hadiah.”

Kemudian dia menoleh ke arah menantu kedua,”kamu pula harus kembali dengan membawa hadiah angin yang dibalut dengan kertas.”

Bapa mertua tersebut sebenarnya ingin menguji kedua menantunya jika mereka sayang dan mengambil berat tentang dirinya, mereka pasti akan mencari hadiah tersebut tidak kira bagaimana caranya sekali pun.

Kedua-dua menantunya bersetuju tanpa berfikir panjang. Mereka sangat gembira kerana dapat pulang ke rumah keluarga masing-masing di kampung yang sama.

Sebulan lamanya di kampung halaman, mereka hampir terlupa tentang hadiah yang perlu mereka bawa pulang untuk bapa mertua mereka. Pada hari mereka akan pulang, mereka merasa cemas kerana hadiah yang dipinta bapa mertua mereka itu agak mustahil. Bagaimanakah api boleh dibalut dengan kertas? Mesti kertas akan terbakar. Bagaimana pula caranya membalut angin dalam kertas? Mesti angin akan terlepas. Mereka buntu.

Mereka bertanyakan kepada semua bijaksana di kampung mereka di manakah mereka boleh mencari kertas yang tidak terbakar oleh api dan boleh membalut angin, namun tidak berjaya. “Tiada kertas sedemikian rupa di Jepun ini,” jawab semua bijaksana yang ditanya.

Mereka membawa diri ke hutan kerana tidak boleh pulang ke rumah bapa mertua. “Saya tidak suka dengar orang menangis dalam hutan saya,” tiba-tiba kedengaran satu suara. “Pokok saya tidak akan tumbuh dengan baik dengan air garam.”

Mereka terkejut dan menjawab, “kami tidak dapat berhenti menangis kerana memikirkan tentang hadiah yang harus kami bawa kepada bapa mertua kami.”

“Apakah hadiahnya?” tanya suara itu.

“Kecuali saya dapat membawa api yang dibalut kertas, saya tidak boleh pulang ke rumah bapa mertua saya,” kata menantu pertama.

“Dan saya pula harus membawa pulang angin yang dibalut kertas,” kata menantu kedua.

“Hmm… sebenarnya senang sahaja caranya untuk membungkus api dalam kertas,” jawab suara itu. “Ini sekeping kertas, sekarang cuba lihat,” tiba-tiba muncul kertas ajaib di atas tanah. Kertas ajaib tersebut dengan sendirinya terlipat sehingga menjadi tanglung Jepun. “Sekarang letakkan lilin di tengah-tengah tanglung tersebut,” kata suara itu, “dan awak mempunyai kertas yang dibalut dengan api. Setuju?”

Menantu pertama merasa sangat gembira dan mengambil tanglung tersebut.

Kemudian suara itu berkata, “sekarang angin yang dibalut dengan kertas, itu lagi mudah kerana angin tidak membakar kertas.” Beberapa batang ranting ajaib terkumpul di atas tanah dengan sendirinya dan kemudian muncul kertas ajaib yang dipenuhi dengan corak bunga Sakura. Ranting-ranting tersebut tersusun dengan eloknya dan kemudian kertas itu kemudian terlipat dengan sendirinya berselang-seli antara ranting tersebut. “Nah itulah namanya kipas. Ambil kipas tersebut dan kipaskan ke muka kamu,” kata suara itu.

Menantu kedua mengambil kipas dan mengipasnya ke muka. “Bukankah angin datang ke wajahmu? Dan kipas itu yang membawanya?” tanya suara itu. “Itulah dia angin yang dibalut kertas,” tambah suara itu.

Kedua-dua menantu perempuan tersebut merasa sangat gembira, dan apabila mereka sampai ke rumah bapa mertua mereka, mereka memberikan hadiah tersebut kepadanya. Bapa mertua mereka sangat gembira kerana kedua-dua menantunya akhirnya pulang.

Mereka menceritakan kepada bapa mertua mereka tentang kisah suara ajaib dan kertas ajaib yang menjadi tanglung dan kipas.

“Anak-anakku, keajaiban itu adalah kamu berdua, yang berusaha untuk kembali semula ke sini dan tidak meninggalkan bapa. Tiada apa yang lebih berharga dari kamu berdua,” katanya terharu.

TAMAT.

*Sumber prompt dari Norsa’adah: 31 Perkataan Sebagai Pencetus Idea

Kembara Jepun, 2016.
Comments Off on Tanglung dan Kipas Kertas