BLOG BM

Naga Bunga

Pada suatu masa dahulu di sebuah kampung di negara China, ada seorang balu miskin yang mempunyai seorang anak gadis yang bernama Líhua. Kehidupan mereka sangat sukar, dan mereka selalu kelaparan. Pada suatu hari, balu itu menangis dan berputus asa dan berkata pada anaknya, “Líhua, emak buntu. Kita sudah kehabisan wang dan makanan. Apakah hidup kita akan begini selamanya?”

Líhua berlutut di hadapan ibunya, “Jangan risau, emak. Mungkin saya boleh pergi ke kota dan minta bantuan Pakcik Ming, adik emak. Saya pasti Pakcik Ming sudi membantu kita.”

Emaknya menggelengkan kepala, “jangan, bahaya jalan seorang diri ke bandar.”

“Emak jangan risau, semuanya akan selamat. Saya akan berhati-hati dan cepat pulang,” kata Líhua nekad. Oleh kerana emaknya tidak dapat memikirkan cara lain untuk membantu mereka, dia melepaskan Líhua pergi seorang diri ke bandar.

Selepas beberapa lama berjalan, Líhua tiba di pinggir bandar dan terjumpa sebuah taman yang sangat indah. Mulutnya ternganga kerana seumur hidupnya, dia belum pernah melihat taman seindah itu yang dipenuhi dengan bunga popi merah. Di dalam taman itu, dia melihat ada tiga orang gadis adik-beradik memakai pakaian cantik dan bermain sambil bergelak ketawa.

Tiba-tiba salah seorang dari gadis tersebut melihat rama-rama dan menjerit, “Mari kita kejar dan tangkap rama-rama itu.” Mereka bertiga pun mula mengejar. Rama-rama tersebut cuba terbang tetapi mereka hampir menangkapnya. Líhua bergegas dan menyelamatkan rama-rama. “Berikan kepada kami rama-rama itu,” kata mereka. “Ini taman kami!”

Líhua menggelengkan kepalanya. “Rama-rama mesti bebas terbang,” katanya sambil melepaskan rama-rama. Gadis-gadis tiga beradik itu berasa sangat marah. “Pergi dari taman kami, pengemis!” jerit mereka.

“Saya bukan pengemis,” kata Líhua. “Saya sedang dalam perjalanan ke rumah pakcik saya yang kaya raya yang tinggal di bandar.”

Gadis-gadis hanya ketawa. “Awak pasti tidak akan sampai ke bandar kerana dalam perjalanan awak nanti awak akan melalui kawasan pergunungan dan di situ ada gua di mana Naga Emas tinggal. Naga Emas bernafaskan api dan sudah tentu awak akan hangus dibakarnya,” kata mereka sambil ketawa dan berlari lalu hilang di celah-celah pokok popi.


Líhua merasa takut dan berfikir apakah yang harus dilakukannya. Tiba-tiba pari-pari rama-rama muncul. “Jangan takut, Líhua,” kata pari-pari itu. “Awak telah selamatkan nyawa saya dan saya akan tolong awak pula. Saya tahu bagaimana untuk menenangkan Naga Emas. Naga tersebut sangat sukakan bunga tetapi di gua tempat dia tinggal bunga tidak boleh tumbuh kerana apabila marah, dengusnya mengeluarkan api membakar segala tumbuhan yang berdekatan dengannya. “Ambil ini dan berikan kepada naga dan minta dia jangan marah,” kata pari-pari sambil menghulurkan sejambak bunga.

Líhua mengucapkan terima kasih kepada pari-pari itu dan menyambung perjalanannya. Tidak lama kemudian dia sampai ke kawasan pergunungan dan telah hampir dengan sebuah gua. Dia dapat mendengar dengusan dan ngauman Naga Emas. Apabila dia mendekati gua, Naga Emas mula mengaum dan bertanya, “siapakah gerangan awak ini?!”

“Naga Emas yang mulia,” kata Líhua, “saya mohon untuk lalu di sini untuk ke bandar. Saya ada bawa sejambak bunga untuk awak,” lalu menyerahkannya.

“Awak sangat garang,” kata Líhua lagi dengan lembut, “Saya tahu awak sukakan bunga dan jika awak berhenti mendengus, bunga akan tumbuh kembali. Saya mahu awak berjanji tidak akan menakutkan sesiapa lagi.”

Naga itu sangat terharu kerana sekian lama dia tidak pernah melihat bunga. Naga berjanji tidak akan marah dan mendengus lagi. Líhua berterima kasih kepada naga dan meneruskan perjalanan ke rumah pakciknya. Naga melambai dan mengucapkan selamat tinggal.

“Tunggu,” Naga Emas itu tiba-tiba menahan Líhua. Dia masuk ke dalam gua dan keluar semula dengan membawa kalung emas permata yang berkilauan. “Awak adalah orang pertama yang beri hadiah kepada saya. Awak sangat baik hati. Ambillah ini sebagai tandamata dan tanda terima kasih saya.”

Líhua mengucapkan terima kasih kepada Naga Emas dan menyambung perjalanan. Apabila dia tiba di rumah pakciknya, dia menceritakan segala kesusahannya dan memohon pakciknya untuk membantu. “Pakcik Ming, kami sangat miskin dan perlukan bantuan berupa sedikit wang untuk membeli makan. Sudah beberapa hari kami berlapar.”

“Kamu semua fikir saya cap wang?” Pakcik Ming menjerit.

“Pakcik Ming, kasihanilah saya dan emak saya. Saya telah berjalan jauh untuk meminta pertolongan pakcik sehinggakan dalam perjalanan tadi saya terserempak dengan Naga Emas yang garang, tetapi dia menjadi baik apabila saya memberikannya bunga. Malah dia juga memberikan saya kalung emas permata,” jelas Líhua.

Apabila Pakcik Ming mendengar cerita Líhua, dia mengambil beberapa tangkai bunga dari pasu atas meja dan terus pergi mencari Naga Emas di gua di kawasan pergunungan.

“Wahai Sang Naga Emas, saya datang membawa bunga untuk awak, dan sekarang berikanlah saya kalung emas permata.”

Naga Emas melihat di tangan Pakcik Ming ada bunga layu. Dia merasa amat marah dan mengejar Pakcik Ming sekeliling kawasan pergunungan sambil mendengus sehingga pakaian Pakcik Ming terbakar.

Sementara itu, berita mengenai kalung emas permata milik Líhua telah sampai ke Maharani China. Maharani menjemput Líhua ke istana dan merasa kagum melihat kalung emas permata yang berkilauan lagi unik.

“Maharani yang saya hormati, izinkan saya memberikan kalung permata ini kepada tuanku,” kata Líhua. “Saya tidak memerlukan kalung emas permata berharga ini, anggaplah ini sebagai hadiah dari saya dan emak saya yang miskin.”

Apabila Maharani mendengar kisah perjalanan Líhua dan cara dia telah menenangkan Naga Emas, Maharani menjemput dia dan emaknya untuk tinggal di istana. Mereka bersetuju.

Sementara itu, Naga Emas masih tinggal di guanya. Setiap hari Líhua akan melawatnya. Gua Naga Emas kini penuh dengan bunga pelbagai jenis bunga.

Pakcik Ming? Pakcik Ming tidak pernah meninggalkan rumahnya kerana takutkan Naga Emas yang masih mencarinya kerana dia memberikannya bunga layu.

*Sumber prompt dari Norsa’adah: 31 Perkataan Sebagai Pencetus Idea

4 Comments